Apabila tubuh menjadi mata pencarian, seperti kebanyakan atlet sukan, sudah semestinya anda ingin mengubah suai elemen diet untuk mencapai prestasi terbaik.
Bagaimanapun bagi sesetengah orang, mengikuti pemakanan seimbang sahaja tidak mencukupi. Atlet selebriti ini membuat keputusan mencuba diet ekstrem dan pelik, yang kebiasaannya tidak disarankan pakar kesihatan.
Siapakah yang dimaksudkan dan apakah diet pelik yang menjadi amalan mereka selama ini?
1. Aaron Rodgers detoks tubuh dengan minyak sapi pada waktu pagi, julap pada sebelah malam.
Quarterback NFL ini berkata dia mengurangkan pengambilan gula, alkohol dan hubungan seksual. Sebaliknya dia mengamalkan minyak sapi bersuhu suam dan julap sebagai sebahagian daripada proses detoks intensif selama 12 hari.
Dikenali sebagai Panchakarma, amalan penyembuhan tradisional Ayurveda dari India ini bertujuan memulihkan badan dan minda. Struktur asas melibatkan pengambilan minyak sapi suam pada waktu pagi untuk ‘melincirkan’ sistem dalaman tubuh. Ini diikuti dengan teh julap pada sebelah malam untuk detoksifikasi.
Pengamal juga digalakkan hanya mengambil makanan tertentu seperti nasi dan kacang hijau serta mengelakkan makanan dan minuman sejuk. Dalam sesetengah kes, kaedah ini turut melibatkan rawatan paksa muntah, enema dan bekam.
Bagaimanapun tiada manfaat kesihatan yang diperolehi daripada amalan itu, menurut pakar pada 2009. Tubuh secara semula jadi melakukan detoksifikasi yang diperlukan melalui hati dan buah pinggang.
Suplemen yang dikatakan membantu proses detoksifikasi biasanya tidak berkesan. Lebih teruk lagi ia boleh mendatangkan kemudaratan yang mencetuskan masalah dehidrasi atau penghadaman.
2. Venus Williams mengamalkan diet kegemaran ramai atlet: Sayur mentah.
Ramai selebriti telah mencuba diet berasaskan sayuran tidak dimasak termasuk Venus Williams. Bintang tenis ini menjadi pengamal diet vegan pada 2011 selepas didiagnosis dengan penyakit autoimun. Akuinya, diet sayuran mentah membantu mengurangkan gejala yang dialaminya.
Bermula tahun 2019, dia menambah sayuran yang dimasak seperti kentang, lentil dan beberapa jenis sayuran lain untuk mendapatkan lebih tenaga dan nutrisi. Dia kekal menjadi pengamal diet vegan sehingga kini.
Venus Williams merupakan antara sebilangan besar atlet berprofil tinggi yang mengamalkannya termasuk pemain bola sepak wanita, Alex Morgan dan pemain NBA, Chris Paul. Mereka mengakui diet tumbuhan memberikan prestasi lebih baik. Menjadi pengamal vegan boleh memberi manfaat kesihatan termasuk untuk para atlet, seperti memberi lebih tenaga dan membantu proses pemulihan tubuh.
Bagaimanapun mereka mungkin mengalami kesukaran untuk mendapatkan beberapa nutrisi penting. Sayur-sayuran biasanya rendah kalori terutamanya yang mentah, jadi ini boleh menjadi cabaran besar buat atlet.
3. Tom Brady tidak mengambil sayuran nightshade dan minum banyak air setiap hari untuk mengelak selaran matahari.
Legenda NFL ini juga mencipta satu pelan diet unik yang dipanggil TB12 dan menulis buku mengenainya, The TB12 Method: How to Achieve a Lifetime of Sustained Peak Performance.
Sebagai sebahagian daripada pelan 12 langkah untuk kekalkan tubuh dalam keadaan terbaik, Tom Brady mengelakkan nightshade – kumpulan sayur-sayuran termasuk terung dan tomato – kerana ia menyebabkan radang dan meningkatkan pH badannya.
Bagaimanapun kajian menunjukkan makan atau menjauhi makanan tertentu tidak boleh mengubah pH badan seperti yang didakwa. Malah sayur-sayuran seperti terung dan tomato kaya dengan serat (terung) serta vitamin A dan C (tomato). Vitamin A dan C diketahui membantu mengurangkan keradangan, bertentangan dengan apa yang disarankan oleh diet TB12.
Tom Brady juga pernah mendedahkan kepada Sports Illustrated bahawa dia minum beberapa liter air setiap hari untuk melindungi kulit daripada ‘dibakar’ sang mentari. Bagaimanapun tiada bukti saintifik yang menunjukkan pengambilan air yang banyak boleh menghalang selaran matahari.
4. Arnold Schwarzenegger mencampurkan minuman keras ke dalam suplemen protein.
Pemenang gelaran Mr. Olympia tujuh kali ini kerap mengambil makanan berasaskan tumbuhan dan lantang bercakap mengenai manfaatnya terhadap kesihatan tubuh. Jelasnya, ia mampu menurunkan paras kolesterol dan membuatkan tubuh terasa lebih muda.
Bagaimanapun Arnold Schwarzenegger berkata sekali-sekala dia akan makan stik atau schnitzel Wiener Austria. Lebih mengejutkan, dia mengakui mencampurkan alkohol ke dalam minuman proteinnya.
Bekas atlet bina badan ini berkata pada awalnya dia melakukan sedemikian dengan harapan ia dapat membantu tubuh menyerap protein dengan lebih cepat. Namun kini dia meneruskan diet pelik itu kerana rasanya yang enak.
Walaupun alkohol tidak semestinya menjejaskan kecergasan, terlalu banyak minum boleh menyebabkan tubuh lebih sukar menyerap protein untuk memulih dan membina otot. Dan sudah tentu, ketagihan alkohol boleh menyukarkan seseorang untuk bersenam, makan hidangan bernutrisi dan mengikuti tabiat sihat lain dari semasa ke semasa.