Bermula dengan membaca berita di TV3, kemudian pernah juga bergelar penyampai radio dan hari ini wajahnya muncul di program hiburan ikonik ‘Meletop’ saban minggu. Dia juga sudah mula bertatih dalam dunia lakonan.
Bila dan di mana Hawa paling gembira?
Ketika bekerja dan mengguna kemahiran diri sepenuhnya apabila bekerja.
Apakah bakat lain yang kamu ingin miliki?
Melatih haiwan! Kadang-kadang terfikir bagaimana perasaan apabila mempunyai hubungan yang istimewa dengan haiwan dan dapat memahami mereka? Ia menyeronokkan!
Jika boleh mengubah sesuatu tentang diri Hawa, apakah ia?
Mencipta komunikasi dengan diri saya sewaktu kecil dan mengingatkan bahawa setiap pergerakan, perbuatan dan pemikiran memerlukan sebab dan tujuan.
Bagaimana kamu berhadapan dengan kegagalan?
Menganggap ia sebagai teguran daripada Tuhan untuk lebih menghargai nikmat yang dihadiahkan oleh-Nya.
Bagaimana Hawa mengurus stres?
Analisis masalah dan mencipta formula daripada pengalaman sendiri dan ambil pesanan dari orang yang lebih berpengalaman.
Apakah idea Hawa tentang kehidupan yang gembira?
Meraikan setiap ruang dan peluang, ia sebahagian perkembangan dalam meneruskan kehidupan.
Apakah memori zaman kanak-kanak paling kamu ingat?
Membuat persembahan bersama adik-beradik sejurus mama dan abah pulang daripada kerja.
Apakah perkataan atau ayat (phrase) yang kerap kamu sebut dalam sehari?
“Baik!”, “Jom kita teruskan” atau “Let’s do it!”
Apakah nilai atau ciri penting dalam perhubungan?
Suntikan semangat dalam membaca, mendengar dan menceritakan dalam diri pasangan.
Bagaimana kamu menunjukkan simpati pada orang yang kamu rapat?
Mendengar dan meyakinkan mereka bahawa kita sentiasa ada untuk menemani mereka.
Apakah isu masyarakat kita yang paling signifikan ketika ini?
Generasi muda perlu lebih bersemangat dalam membentang idea yang segar menerusi skop pemikiran diri sendiri.
Jika sudah tiada nanti, apa yang kamu mahu orang ingat tentang kamu?
Perjalanan hidup saya melalui proses dan perkembangan karya dan kerja saya.