Sinar Mierul Aiman mula menyuluh lapangan seni sejak menjuarai pencarian ‘Hero Remaja’ di Astro. Dan cahayanya semakin terang saat namanya menjadi sebutan sebaik ‘Projek: High Council’ mencetus fenomena luar biasa.
Apa matlamat hidup kamu?
Hidup dalam mimpi-mimpi Mierul.
Apakah bakat atau kemahiran lain yang ingin Mierul kuasai?
Melukis, kerana dapat mencetak apa yang ada di dalam imaginasi. Bagi saya itu bagaikan satu superpower, menzahirkan apa yang di dalam minda.
Jika boleh mengubah sesuatu tentang diri Mierul, apakah ia?
Memiliki superpower yang membolehkan saya memutar waktu, dan saya akan berbicara dengan Mierul Aiman yang masih kecil dan ingatkan diri bahawa setiap hal yang saya lakukan perlu ada sekurang-kurangnya satu sebab biarpun sekecil-kecil meminta aiskrim. Jika saya mematangkan diri sejak kecil maka akan banyak hal yang boleh saya terokai.
Bagaimana Mierul berhadapan dengan kegagalan?
Saya berhadapan kegagalan dengan bersyukur. Bagi saya bersyukur adalah satu jalan keluar yang mampu mengalih perhatian saya dari kegagalan. Di saat ramai orang di lorong yang sempit, saya masih dikurniakan jalan yang luas.
Bagaimana pula mengurus tekanan?
Merasai untuk mendalami, mendengar untuk motivasi,melihat untuk mempercayai, menyampaikan untuk solusi.
Apakah idea Mierul tentang kehidupan yang gembira?
Kebahagian itu mempercayai hidup ini adalah satu buku yang telah ditulis, kita hanya perlu membaca kisah itu, mendalami dan memahami sebab dan kita explore; siapa, bila dan mengapa.
Apakah nilai penting dalam perhubungan?
Usaha.
Apakah isu masyarakat hari ini yang signifikan untuk diberi perhatian?
hak asasi manusia, diskriminasi ras, hak bersuara antara generasi, peradaban manusia, kehidupan sosial dan kesihatan mental.
Jika kamu sudah tiada, apa yang kamu mahu orang ingat tentang kamu?
Kraf dan karya saya.
Dalam situasi bagaimana Mierul menipu?
Tiada sebab. Kejujuran itu benar pahit, tetapi penipuan itu lebih sakit.
Bila dan di mana kamu paling gembira?
Apabila berbual bersebelahan dan menikmati resipi Mama.
Apakah falsafah atau moto kehidupan kamu?
Kekuatan mimpi adalah kepercayaan dengan izin-Nya dan isiku.