Jika sebelum ini peminat melihat gandingan Fattah Amin dan Neelofa sebagai pasangan yang hangat diperkatakan biarpun ia hanya sekadar hubungan di set penggambaran sahaja, tetapi kali ini Fattah akui sedang mengenal hati budi pelakon popular, Nur Fazura dengan lebih dekat lagi.
Fattah sendiri turut mengaku yang dirinya sudah pun berjumpa dengan keluarga Fazura sebagai satu proses dalam mengenal aktres jelita itu dengan lebih rapat.
“Terus terang buat masa ini kami senang untuk berkawan dan mula mengenal hati budi masing-masing. Saya dah jumpa keluarga Fazura begitu juga sebaliknya. Buat masa ini semuanya amat positif. Jadi untuk pergi jauh lagi, itu kuasa Allah. Kalau dialah jodoh saya, tidak salah untuk saya terima,” ujar Fattah kepada Utusan Malaysia.
Pasangan ini tidak hanya rapat di dalam set penggambaran sahaja, malah juga selesa berkawan rapat di luar. Bukan itu sahaja, Fattah sendiri turut menyatakan yang mana ada ciri-ciri istimewa pada Fazura yang buat dirinya terpegun.
“Dia seorang wanita yang sangat positif. Aura itu yang menyebabkan saya sedia untuk bekerjasama. Itu juga merupakan ciri-ciri wanita yang saya idamkan selama ini,” jelas Fattah.
Meskipun ada sesetengah yang membuat tanggapan bahawa hubungan mereka ini hanyalah sekadar satu strategi untuk mempromosikan drama gandingan mereka, Fattah merasakan yang rasa cinta itu semestinya akan wujud secara semula jadinya.
Fattah dan Fazura mula dilihat intim bersama selepas mereka mula digandingkan dalam drama terbaru yang dibawakan oleh Astro yang berjudul Hero Seorang Cinderella.