Rentanan emosi atau sekadar perkongsian buah fikir, semuanya Daiyan Trisha himpunkan dalam sebuah naskhah istimewa diberi nama ‘Tulisan’ yang dilancarkan hari ini.
Menulis baginya bak sumber udara, satu keperluan harian yang menggerakkan jasad dan nadi. Tidak menulis sehari, dia dihimpit resah. Begitulah tafsiran Daiyan tentang betapa pentingnya menulis baginya. Dan jika dulu orang lebih kenal dirinya sebagai karyawan yang cenderung menulis muzik dan bait lirik, namun sejak beberapa tahun ini luahan jiwanya dibutirkan dan dipertontonkan menerusi laman Instagram @tulisanbydaiyantrisha.
Bait-bait luahan dan perkongsian di media sosial itu menerima maklum balas yang baik dari pengikut dan kerana itu juga membutir inspirasi untuk Daiyan menjilidkan luahan dan fikirannya ke dalam sebuah buku istimewa, senaskhah buku puisi yang mungkin tanpa sedar kita sendiri perlukan, yang mungkin ada baris kata yang membuat kita berfikir, melayan perasaan; gembira, duka, gelisah, kebimbangan, mengimbas pengalaman lampau, juga melakar bayangan masa depan.
Naskhah ‘Tulisan’ akan dibuka pra-tempahnya bermula hari ini, dan tanggal 26 Ogos ini mungkin menjadi detik paling manis, paling ditunggu-tunggu Daiyan secara peribadinya. Mungkin pelancaran ini lebih besar dari lagu-lagu yang pernah dia perdengarkan sebelum ini. “Takut,” itu antara yang pernah Daiyan kongsikan dengan saya bila dia bercerita tentang buku ini.
‘Tulisan’ menghimpunkan 222 puisi nukilan Daiyan, diluahkan dalam bahasa ibunda dan Inggeris, ada yang ditulis berdasarkan perasaan, emosi dan pengalaman Daiyan sendiri. Dan boleh jadi juga puisi-puisi ini bakal membuka teka-teki siapa, bila, kenapa, khususnya bagi indidvidu yang kenal rapat dengan Daiyan, mahupun penggemar yang mengikut tiap satu cerita dan perkongsian Daiyan di media sosial. Boleh jadi juga sebahagiannya sekadar perkongsian untuk menjentik emosi dan serebrum kita.
‘Tulisan’ sudah boleh ditempah jam 10 pagi ini di www.tulisanbydaiyan.com dan untuk Daiyan Trisha, tahniah dan teruskan berkarya, belum pun membaca yang sulung ini saya sudah mengharapkan akan ada jilid kedua.
BACA: Terhasil Dalam 60 Minit, ‘Penat’ Sebuah Luahan Luka Daiyan Trisha