Oleh: Farhana Fuad
Gambar: TPGVIP
Keluarga popular ini kini mengembangkan lagi pengaruh mereka dalam dunia fesyen dengan menampilkan seorang lagi waris Beckham yang terpilih sebagai bintang untuk kempen Krismas jenama unggul Burberry bertajuk “From London with Love”. Anak-anaknya yang mengikut iras bapa mereka yang segak tampan serta ibu yang feminin elegan dalam dunia fesyen menjadi rebutan jenama besar. Kini, Romeo Beckham mula mengikut jejak ibu dan bapanya sebagai bintang kempen fesyen, selepas abangnya Brooklyn sudah mula mengorak langkah dalam bidang peragaan. Dan Romeo yang kini berusia 11 tahun sudah menjadi bintang dalam iklan kempen Burberry sejak tahun lalu menerusi koleksi musim panas Burberry.
Kali ini, Romeo Beckham tampil segak dan comel dalam busana trench kot serta skarf ikonik Burberry dalam iklan terbaru jenama fesyen gergasi itu sempena Krismas akan datang. Video iklan Burberry ini berteraskan ala teater muzikal berlatarbelakangkan bangunan kota London tatkala di musim dingin.
Romeo Beckham memain peranan sebagai Cupid yang mengelilingi pasangan kekasih dengan aura cinta Burberry. Ternyata, legasi Beckham yang memaksimakan bakat mereka bakal menjadi pelapis populariti kedua ibu bapa mereka.
Jom tonton video klip terbaru kempen Burberry yang dibintangi Romeo Beckham ini.