Teks : Khairul Abidin
Menjelang Good Vibes Festival 2018 hujung minggu ini, EH! berkesempatan berbual ringkas dengan Honne, duo elektronik dari kota London yang bakal melancarkan album baru Love Me / Love Me Not Ogos nanti.
“If you are looking for something sexy, sensual and perfect for late night, check out the album Warm on a Cold Night by English electronic duo Honne,” tulis Billboard.
Ya, jika anda kelompok millennial yang mahu melayan jiwa dengan lagu-lagu seksi, Honne mungkin pilihan tepat. Muzik elektroniknya tidak bingit, ya membuat kamu berdansa tapi dalam masa yang sama masih kental sisi romantik dan sensualnya. EH! sempat menemubual James (seorang lagi Andy namanya) sempena persembahan sulung duo dari London ini di Good Vibes Festival hujung minggu ini.
Bagaimana kamu dan Andy bertemu dan membentuk Honne?
Kami bertemu pada hari-hari pertama kami di university. Beberapa hari selepas pertemuan pertama itu kami sudah bermain muzik bersama untuk suka-suka. Fokus utama tetap kepada pengajian pada waktu itu, jadi muzik bukan hal yang serius hinggalah kami menyudahkan pengajian. Saya tertumpu kepada pembikinan muzik dan Andy mahir dalam penulisan lirik.
Bertemu di universiti, bagaimana selera muzik kamu dan Andy boleh begitu serasi?
Ia satu chemistry yang datang sendiri. Kami berdua membesar dengan muzik dan masing-masing boleh bermain alat muzik. Kami membesar dengan muzik R&B dan dalam masa yang sama di London pengaruh muzik lain juga pastinya ada.
Secara ringkasnya bagaimana kamu definisikan muzik Honne?
Muzik ringan yang akan membuat kamu asyik mendengarnya saat memandu pada waktu malam. Ada sedikit elemen romantik (ketawa).
Untuk album terbaru, mengapa memilih melancarkan dua single setiap bulan?
Konsepnya mudah, kami mahu peminat mendengar dua lagu berbeza, satu kisahnya gembira dan satu lagi lebih dark. Album penuh akan dilancarkan Ogos ini. Jadi, sebahagian penuh lagu-lagu daripada album ini sudah diperdengarkan jadi waktunya cukup tepat untuk kami melakukan persembahan di Malaysia Julai ini.
Apa yang boleh dikongsikan dengan album baru ini?
Muziknya masih ‘chill’ dengan atmosfera romantik tapi beat nya lebih jelas. This new album is more beat-oriented.
Pertama kali ke Malaysia, apa yang kamu jangkakan daripada peminat di Good Vibes Festival?
Saya mahu sesiapa yang datang relaks dan enjoy dengan muzik kami. Pastinya saya dan Andy teruja mahu melakukan persembahan nanti. Can’t wait!