Bila menyebut nama Hun Haqeem, secara zahirnya peminat akan membayangkan satu figura yang berwajah kacak, bertubuh segak dan amatlah murah dengan senyuman. Di sudut yang lain, bagi yang berpeluang menjadi kawan atau paling tidak, pernah berbual dengannya, anda akan dapat tahu dia bijak orangnya dan penuh dengan prinsip.
Ini adalah kali ketiga EH! merakam wajah Hun Haqeem untuk muka depan (satu lagi belum dirilis… tunggu ya), dan ketiga-tiganya dia datang sendiri. Bermotosikal ke studio adalah kebiasaan. Mungkin kerana sudah terbiasa dan mesra dengan team EH!, dia senang menguruskan sendiri hal-hal penggambaran editorial.
Terkini, drama siri Legenda Puteri Qasih 2 baru saja habis bersiaran di kaca TV menerusi saluran Astro Ceria. Projek ini menemukan Hun bersama Qasrina Karim, Dini Schatzmann, Bella Dowanna dan Daniel Fong. Ikuti bual bicara santai saya dan Hun usai penggambaran istimewa EH! yang bakal dilancarkan bulan depan.
Hal terkini tentang Hun?
Legenda Puteri Qasih sudah bersiaran di kaca TV. Ia satu projek yang membuatkan Hun gembira kerana ia sebuah projek yang berbeza dari kebiasaan yang lazim Hun lakukan. Selalunya genrenya lebih berat, yang ini pula template Astro Ceria, lebih ringan dan audien utamanya ialah kanak-kanak. Hun rasa sangat heart feeling kerana kita sendiri pernah melalui zaman kanak-kanak, jadi rasa seronok bila generasi muda hari ini tengok saya berlakon. Kerana satu hari nanti bila mereka dah besar, bila nampak Hun mereka akan ingat ‘ha inilah yang berlakon Legenda Puteri Qasih dulu tu’. Sesekali buat cerita macam ni seronok.
Bagaimana projek gim Hun?
Semuanya berjalan baik setakat ini. Kita baru buat official opening dan ada hari yang Hun free, Hun memang akan ke sana. Bila tengok klien happy, kita pun happy. Objektif pertama bila Hun buka gim sebab Hun mahukan gaya hidup yang lebih sihat di kalangan orang kita, healthier Malaysian. Hun lihat kita perlu banyakkan komuniti sihat agar kita saling menyokong, bukan saja tertumpu pada kesihatan fizikal tetapi juga mental dan emosi. Dan secara tidak langsung perniagaan bersama kawan Hun sendiri ini Hun lihat sebagai satu simbol penghargaan kepada persahabatan kami sendiri. Kita sama-sama capai impian.
HUN HAQEEM TENTANG PERSAHABAT DAN CONNECTIVITY
Dalam berkawan khususnya bila berkenalan dengan orang baru, apakah nilai yang Hun cari?
Penting untuk kita cari nilai yang sama ada dalam diri kita. Sebab bila kita punya nilai yang sama kita boleh saling bergantung. Itu adalah acuan yang sangat penting dalam berkawan, dan secara logiknya memang kita senang berdamping dengan orang yang punya persamaan, dia macam booster yang boleh menolak kita ke hadapan. Bila dia ada core values yang sama, we only achieve great thing together.
Apa yang membuat Hun hilang percaya kepada seseorang?
Not being honest! Hun percaya setiap perhubungan atau persahabatan itu memerlukan kejujuran. Good or bad, sama ada kita buat silap sekalipun kita kena jujur dan terima kesilapan itu. Jika kita boleh akui kesilapan kita ia sebenarnya akan membuat kepercayaan itu lebih kuat. Kita akan lebih menghargai teman yang mengakui kesilapan bila mereka berbuat salah. Lumrah kita sebagai manusia memang tak lepas dari membuat kesilapan.
Hun percaya pada peluang kedua?
Semestinya, dan Hun percaya setiap manusia mesti diberi peluang kedua kerana sebagai manusia kita memang dilahirkan untuk melakukan dua benda, iaitu membuat silap dan memperbetulkan kesilapan.
Hun seorang yang hold grudges atau mudah melupa dan melepaskan?
I don’t hold grudges, tidak kisahlah apa-apa saja yang pernah orang buat pada Hun kerana Hun percaya pada kuasa sebuah kemaafan. Sedangkan Pencipta kita sendiri maha pengampun takkanlah kita hamba-Nya tak boleh memaafkan. Bagi Hun memaafkan itu memberi banyak ketenangan dan dengan itu saja cara untuk kita berasa tenang tentang apa-apa yang berlaku dalam hidup kita.
Apa yang boleh membuatkan Hun berasa cemburu?
Saya bukan seorang yang mudah berasa cemburu, tapi jika cakap cemburu yang sihat tu saya akan rasa cemburu melihat orang berlakon bagus. Bagi saya itu satu wake up call untuk saya perbaiki diri. Dan mungkin satu hari nanti saya ada peluang satu frame dengan orang yang saya cemburukan itu.
Adakah Hun seorang yang mudah menerima pertolongan dari orang lain?
Sejujurnya Hun seorang yang susah nak terima pertolongan dari orang lain termasuklah dari parents sendiri, sebab Hun akan ada rasa macam menyusahkan orang lain. Hun selalu rasa Hun boleh buat sendiri.
Tapi, berbalik pada apa yang kita cakap tadi tentang core values, bila kawan kita ada nilai yang sama dengan kita, tanpa kita tanya, mereka sendiri akan tawar diri hendak membantu. Mereka sendiri boleh rasa apa yang kita rasa, bila kita tak cukup rehat, dorang tahu kita penat.
Tapi sebenarnya tak berapa elok juga kalau kita selalu sangat menolak pertolongan orang dengan alasan tak mahu menyusahkan kerana hidup berkawan memang kena saling membantu. Hun rasa Hun perlu perbaiki diri, cuba untuk lebih terbuka dan buka mulut untuk minta bantuan orang bila Hun rasa perlu. Kita takkan mampu untuk membuat semua benda sendiri.
Adakah kerana ego atau malu?
Most of the time ia bukan kerana ego tapi lebih kepada tak mahu menyusahkan. Tapi bagi Hun bila ada perasaan sebegini ia sebenarnya membuka mata Hun untuk sedar, kita manusia memang perlukan satu sama lain, kita lahir di dunia ni bukan sorang-sorang. Hence Hun percaya ada point nya bila Hun buka gim, kita ada komuniti di gim sendiri, yang mana kita akan sedar jika kita bergaul dengan kelompok yang betul, yang vibes nya sama kita tak akan rasa kita sorang-sorang.
Bercakap tentang kesihatan, bagaimana Hun menjaga kesihatan mental?
Dengan menjaga kesihatan fizikal. Begitu juga dengan kerohanian, itu semestinya. Bila kita jaga hubungan kita dengan Pencipta, insya-Allah semua akan dipermudahkan.
Hubungan kasih sayang dengan keluarga juga penting, sepenting self-love. Kita jangan lupa untuk beri momen kepada diri kita sendiri. Saya percaya ramai orang di luar sana kerja kuat untuk orang yang mereka sayang, tapi dalam masa yang sama mereka tak luangkan masa dengan orang yang mereka sayang. Kita perlu cari sweet spot moment yang mana kita tarik hand break supaya kita dapat luangkan masa dengan keluarga kita.
Sibuk dengan kerja, bagaimana Hun mencari kesimbangan?
Alhamdulillah rezeki Hun dapat tinggal bersama my parents. Sesibuk mana pun, jika balik pukul tiga empat pagi sekalipun saya masih dapat jumpa ibu saya bila dia kejut Subuh. Bagi saya bila ada komunikasi begitu pun saya anggap seperti meluang masa. Bila hari cuti saya selalu bawa mak saya naik motor, kadang-kadang kita pergi sarapan sama-sama. Kalau rasa nak makan nasi lemak Wan Jo, kita pergi sana.
Bagaimana Hun menilai kecantikan seseorang?
Bunyinya klise tapi itulah yang nyata, kecantikan seseorang itu banyak berkait dengan hati. Di dalam industri memang kita dah tahu memang ada beauty standard tapi apabila orang kenal dan tahu cara kita bekerja, secara tak langsung seri itu ada pada wajah. Bila ada semua ini orang sekeliling mudah tertarik, semuanya boleh dicapai dengan hanya menjadi a good person.
Bagaimana untuk impress seorang bernama Hun Haqeem?
Keikhlasan I guess. Saya suka bila orang itu jujur walaupun ada masanya sakit untuk kita terima. Lagi satu bila orang yang Hun tak kenal tapi tegur dan ajak buat something good, macam orang tegur “dah Maghrib, jom solat”.
Gol kehidupan Hun?
Melihat orang sekeliling happy! My greatest hope adalah untuk melihat orang yang saya jumpa, orang yang saya luangkan masa hidup saya dengan mereka penuh dengan senyuman.
Hun pernah bergandingan dengan Daiyan untuk siri ‘W’. Daiyan di mata Hun sebagai co-star?
She is amazing. Tak ada perkataan lain yang lebih sesuai untuk describe seorang Daiyan Trisha. Hun rasa Daiyan akan buat sesiapa saja berlakon akan shine, itu kelebihan Daiyan kerana dia mampu buat orang bersinar seperti dia. Bagi saya sebagai pelakon value itu sangat penting, kerana dengan itu kita berdua boleh mengisi ruang kosong bersama-sama, tak kisahlah berlakon, mengacara atau menyanyi.
Daiyan sebagai seorang kawan?
Lagilah amazing! Amazing darab dua. Dia seorang teman yang supportive. Dia akan invest diri dia terhadap kawan dia. Jika seseorang itu ada dreams, tanpa sedar Daiyan akan sokong dan tolong orang tu capai impian dia. I think that the greatest part of Daiyan. She is very supportive that way. Saya yakin kedua ibu bapa dia bangga dengan dia.
HUN HAQEEM TENTANG STAIL
Okey Bids nak bertanya seikit tentang denim memandangkan penggambaran tempoh hari semuanya tentang denim. Bila Hun mula konsisten menggayakan denim?
Seingat Hun masa remaja sebab waktu itu Hun memang dah mula naik motor. Motor dan denim ni kita dah rasa macam satu culture. Dan Hun sendiri rasa menggayakan denim macam satu protection.
Apa yang selalu Hun gandingkan dengan denim?
Kasut but! Bagi Hun dia macam ada satu sentuhan yang buat penampilan pop sikit. Then, pakai dengan something silver seperti jam dan cincin. Tank top sama ada putih atau hitam, the best!
Warna denim yang Hun suka?
Biru gelap dan juga kelabu.
Potongan yang Hun senangi?
Cropped dan wide leg. Hun senang dengan yang longgar.
Rangkaian Levi’s yang Hun suka?
Semestinya Levi’s Made in Japan. Itu paling love gila gila. Dan Hun ada satu jaket Levi’s warna merah jambu yang Hun beli tahun lepas. Thats my favourite too.
Agak-agak berapa celana denim yang Hun ada?
Mungkin dalam lapan helai, mostly straight cut.
Okey yang terakhir, Levi’s dalam tiga perkataan?
Classy, timeless and handsome!
Konsep/Arahan Kreatif & Penataan Gaya: Khairul Abidin, Jurufoto: Eric Chow, Blink Studio, Arahan Seni: Amirul Ariffin, Videografi: Jackie Mah, Simon tan & Azeem, Penerbit Kandungan Digital: Erdina & Eqa Zulkifli, Solekan & Grooming: Kevin Lee, Dandanan: Ckay Liow, Pakaian: Koleksi Made in Japan, Levi’s.
BACA: Kempen Bersama Beyonce, Levi’s Terinspirasai Dari Kempen Asal Tahun 1985