Video dua pelakon popular, Aaron Aziz dan Iedil Putra menghadiri tayangan filem Extraction 2 tular di media sosial dua minggu lalu.
Kehadiran kedua-duanya mengundang tanda tanya di kalangan netizen. Kini semuanya terjawab apabila Netflix mengeluarkan video promosi filem itu di media sosial. Siapa sangka rupa-rupanya Aaron Aziz dan Iedil Putra terlibat dalam kempen Pudu Extraction yang turut dibintangi oleh Chris Hemsworth.
Menerusi video yang dimuat naik, aktor kelahiran Singapura itu bersama aktres Fify Azmi dilihat cuba menyelamatkan Iedil Putra yang diikat pada pintu gerbang bekas Penjara Pudu. Sebelum sesi menyelamat, Aaron Aziz sempat meminta tip daripada Chris Hemsworth dan pengarah filem itu, Sam Hargrave. “Pertama, hanya bekerja dengan pasukan yang anda percaya. Sentiasa berwaspada dan hanya bertindak apabila perlu. Ingat asas utama dan latihan anda. Jangan risau, kami akan berikan peralatan yang anda perlukan, okey?,” kata mereka.
Misi menyelamatkan diteruskan dengan aksi luar biasa daripada ketiga-tiga pelakon tempatan itu, seakan dalam filem Extraction. Di penghujung video, Aaron Aziz dan Iedil Putra sempat bertentang mata dengan Chris Hemsworth untuk mengucap terima kasih atas bantuan yang diberikan. Sebagai tanda penghargaan, Aaron Aziz menyerahkan sebilah keris kepada Chris Hemsworth yang menjawab dalam Bahasa Melayu, ‘Ah, keris. Terima kasih.”