Nama Kim Kardashian dan Lewis Hamilton kembali menggegarkan dunia hiburan apabila kedua-duanya dikaitkan dengan khabar angin sedang bercinta. Hubungan yang pada awalnya sekadar bisikan kini bertukar menjadi topik utama media global, selepas beberapa penampakan bersama membuatkan ramai mula connect the dots. Adakah ini sekadar persahabatan lama yang kembali rapat, atau kita sedang menyaksikan permulaan kisah cinta paling unexpected tahun ini?

Segalanya bermula apabila Kim dan Lewis dilaporkan dilihat menghabiskan masa bersama secara tertutup di Eropah. Perhatian media mula memuncak apabila kedua-duanya dirakam tiba di sebuah hotel mewah di Paris pada waktu yang sama, menaiki kenderaan yang sama, sebelum masuk melalui laluan peribadi. Rakaman dan foto paparazi itu pantas tular, sekaligus menyalakan api gosip yang selama ini hanya berlegar dalam kalangan sumber dalaman industri hiburan.
Tidak lama selepas itu, beberapa media hiburan antarabangsa melaporkan bahawa Kim dikatakan terbang ke United Kingdom untuk bertemu Lewis, dan mereka dipercayai menghabiskan masa di Cotswolds, England sebuah lokasi yang sering menjadi pilihan selebriti yang mahukan privasi. Walaupun tiada gambar rasmi yang mengesahkan percutian tersebut, laporan menyatakan pasangan ini cuba mengekalkan hubungan mereka jauh daripada perhatian umum.
Menariknya, Kim Kardashian dan Lewis Hamilton bukanlah orang asing antara satu sama lain. Mereka pernah berada dalam lingkungan sosial yang sama sejak beberapa tahun lalu, sering bertemu di acara fesyen, majlis eksklusif dan parti selebriti bertaraf A-list. Lewis sendiri dikenali sebagai figura tetap di barisan hadapan Minggu Fesyen Paris dan Met Gala, manakala Kim pula semakin kukuh sebagai ikon fesyen dan usahawan global. Justeru, hubungan rapat antara mereka bukan sesuatu yang mustahil, malah dianggap “masuk akal” oleh ramai peminat.
Namun begitu, sehingga kini, tiada sebarang pengesahan rasmi daripada mereka. Kedua-duanya juga memilih untuk berdiam diri di media sosial, satu tindakan yang dilihat luar biasa bagi Kim, yang biasanya terbuka berkongsi momen kehidupan peribadi. Sikap berdiam ini hanya menambah misteri, sekaligus membuatkan peminat dan media terus meneka-neka status sebenar hubungan mereka.
Reaksi peminat pula bercampur-baur. Ada yang teruja melihat potensi ‘power couple’ baharu sementara ada juga yang lebih skeptikal, menganggap hubungan ini mungkin sekadar persahabatan atau fasa mengenali antara dua yang berkongsi minat dan jaringan sosial yang sama. Buat masa ini, dunia hanya mampu menunggu. Dan seperti biasa dalam dunia selebriti, kebenaran selalunya hanya akan muncul apabila mereka sendiri bersedia untuk berkongsi.

Artikel Berkaitan: Momen Lucu, Menarik & Ikonik Berlaku Di Grammy 2026
