Sejak dilancarkan pada September 2021, Lalisa tidak henti-henti mencatat rekod baharu. Video muzik lagu ini berjaya memecah rekod di YouTube apabila meraih 10 juta tontonan selepas dua jam dimuat naik di laman berkenaan.
Ia kemudian memecah rekod sebagai video muzik oleh penyanyi solo Korea yang mendapat 100 juta tontonan dalam masa terpantas (49 jam 5 minit). Rekod sebelum ini dipegang oleh Psy untuk lagu Gentleman yang meraih 100 juta tontonan selepas empat hari.
Mac lalu Lalisa terus melakar sejarah apabila dilaporkan telah distrim sebanyak 573 juta kali di Spotify, menjadikannya album bintang K-Pop paling banyak distrim dalam sejarah platform penstriman muzik global itu.
Video muzik Lalisa berjaya mencuri perhatian peminat di seluruh dunia kerana ia memberi penghormatan kepada tanah kelahiran penyanyi itu menerusi kostum dan tarian tradisional.