Bakat memasak serta keazaman dalam diri peserta kelahiran Malaysia, Diana Chan telah menghadiahkannya gelaran MasterChef Australia 2017 mengalahkan Ben Ungermann dalam pusingan akhir yang cukup mendebarkan kelmarin.
Berjaya menempatkan diri sebagai peserta akhir setelah berbulan mengharungi pelbagai cabaran dalam MasterChef, Diana Chan membuktikan dia layak menjulang trofi idaman ramai ini berbekal semangat tidak berputus asa serta mempersembahkan gaya masakan yang tenang setiap kami masuk ke dapur.
Diana, 29, yang juga seorang akauntan menetap di Melbourne, lahir di Johor dan berhijrah ke Australia ketika zaman remajanya. Dia cukup berbangga dengan selera warisan Malaysia terutama masakan tradisi Peranakan dan Kantonis yang masih tebal dalam dirinya yang disemat oleh kedua ibubapanya.
Katanya kepada media Australia:
“I definitely want to have Malaysian influences,”
“But balanced, wholesome and delicious — that’s my criteria.”
“This journey has shaped me as a person and I’ve just done things I’ve never thought were possible.”
Ungermann yang mula menunjukkan rentak memasaknya yang hebat pada pertengahan musim MasterChef hanya kalah dengan satu mata berbanding Chan. Ada peminat siri realiti masakan ini yang tidak berpuas hati dengan keputusan tetapi jelas Chan mendahului pada peringkat awal apabila Ungermann cedera di jari pada pusingan pertama.
Tahniah buat Diana Chan, kita nantikan perjalanannya selepas ini yang kemungkinan besar akan memulakan restoran idamannya dengan cita rasa Malaysia di Melbourne dengan wang kemenangan berjumlah AUS$250,000 dan juga punyai kolum tetap dalam majalah Delicious.
Dan peminat di Malaysia juga berharap dia akan kembali ke Malaysia untuk rangka promosi. MasterChef Australia yang juga francais kulinari berkualiti tinggi memandangkan pesertanya berdepan dengan cabaran unik dan bertaraf profesional. Sebelum ini siri ini pada 2010 pernah menobatkan seorang lagi peserta kelahiran Malaysia, Adam Liaw yang berasal dari Pulau Pinang.
MasterChef 2017 juga disertai oleh seorang lagi peserta kelahiran Malaysia, Sarah Tiong yang terkeluar sebelum pusingann top 5. Diana dan Sarah berkawan baik sepanjang pertandingan dan sering memasak hidangan Malaysia seperti karipap, laksa, nasi lemak dan yong tau foo bersama.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, MasterChef Australia membariskan Matt Preston, Gary Mehigan dan George Calombaris sebagai pengacara dan juri pakar. Anda boleh menonton MasterChef Australia 2017 yang baru bersiaran episod pertengahan di saluran Astro Lifetime 709. (maaf spoiler, kita sudah ketahui pemenangnya!)
https://www.instagram.com/p/BWqor4RAcOy/?taken-by=diana.chan.au&hl=en
Foto: Instagram Diana Chan & Sarah Tiong