Penyanyi terkenal dari Indonesia, Cakra Khan menerokai peluang lebih besar di Hollywood dengan menyertai America’s Got Talent musim baharu.
Dengan suara serak-serak basah luar biasa, penyanyi berusia 31 tahun itu berjaya menawan hati juri dan penonton pada pusingan awal. Cakra Khan pada awalnya mempersembahkan lagu Make It Rain nyanyian Ed Sheeran. Walaupun meraih sorakan daripada penonton, ia gagal mencuri perhatian Simon Cowell, juri paling tegas dalam program pencarian bakat itu. Persembahannya dihentikan sebelum dia diminta menyanyikan sebuah lagi lagu.
Pemilik nama Cakra Konta Paryaman itu kemudiannya memilih lagu penyanyi legenda, Bob Marley & The Wailers berjudul No Woman, No Cry. Tuah menyebelahinya kali ini dan dia mendapat tepukan gemuruh bukan sahaja daripada penonton tetapi juga keempat-empat juri – Simon Cowell, Heidi Klum, Howie Mandel dan Sofia Vergara.