Khabar angin yang bertebaran di sekeliling peminat Selena Gomez selama berbulan-bulan akhirnya terjawab.
Selena bekerja tanpa henti sepanjang tahun lalu dan tidak menunjukkan sebarang tanda untuk memperlahankan langkah. Selepas mengeluarkan album Rare pada Januari 2020, dia memulakan rancangan memasak bertajuk Selena + Chef, melancarkan jenama kecantikan Rare Beauty, serta kembali berlakon dan memegang peranan utama dalam beberapa filem terbaru termasuk siri komedi, Only Murders in the Building.
Ia agak meresahkan peminat yang bimbang jika dia akan mula melupakan bidang nyanyian dan memberi fokus pada bidang lain. Namun kebimbangan itu terhenti apabila dia melancarkan lagu terbarunya dalam bahasa Sepanyol pagi tadi.
Selena memuat klip video De Una Vez di Instagram berserta kapsyen, “De Una Vez kini dilancarkan. Ini adalah permulaan kepada sesuatu yang sudah lama saya mahu terokai. Saya berharap anda menyukainya, sebagaimana saya menyukainya.”
Disember tahun lalu, dia memberitahu Billboard bahawa “beberapa perkara baik akan berlaku” dan menurut Billboard, “ia mungkin termasuk projek terbaru dalam bahasa Sepanyol.” Dan beberapa minggu lalu, peminat ternampak kehadiran mural di Mexico dan Brazil yang tertera perkataan ‘De Una Vez’, ‘Selena Gomez’ dan ‘Baila Conmigo’, termasuk lukisan gambar Selena.
‘De Una Vez’ bermaksud ‘sekali gus’ dan ‘Baila Conmigo’ bermaksud ‘menari bersama saya’. Peminat percaya ini merupakan tajuk untuk lagu terbarunya, terutamanya apabila Selena memberi tanda like pada hantaran di Twitter dan Instagram yang dimuat naik oleh peminat.
Jadi adakah ini bermakna akan muncul satu lagi lagu bahasa Sepanyol daripada Selena bertajuk Baila Conmigo? Atau mungkin juga album bahasa Sepanyol sepenuhnya? Sama-sama kita nantikan.
Foto: Micaiah Carter/Allure
Baca: Artis Pertama Dengan Lima Album Tahunan, Taylor Swift Cipta Sejarah Tersendiri