Teks : Razin Mohd
Persembahan yang sempurna dengan lebih dari 20 nyayian lagu, persembahan selama hampir tiga jam malam itu memukau peminat yang hadir.
Merai ulang tahun yang ke-10 menerusi konsert DEKADE, Afgan kembali ke Malaysia dan meraikannya bersama perminat di Plenary Hall, KL Convention Centre. Berbeza dengan konsert sebelum ini kerana hari itu menjadi satu momen yang cukup peribadi baginya, dan merupakan satu tanda penghargaan dia kepada semua peminatnya yang menyokong selama ini. Malah peminat di Kuala Lumpur bertuah menjadi yang pertama menyaksikan konsert ulang tahun sedekad ini, lebih awal berbanding tanah kelahiran penyanyi kacak berlesung pipit ini.
“Saya ingin membawa penonton secara peribadi mengikut perjalanan karier saya di dalam industri dan berkongsi perasaan dan pengalaman sepanjang 10 tahun bergelar anak seni. Berasa begitu dekat dan intim ialah sesuatu yang belum pernah saya lakukan sebelum ini” – Afgan
Kelainan susunan muzik serta persembahan vokal yang memukau berjaya membuai peminat ke dalam suasana begitu intim dan romantis dan menyaksikan rangkuman perjalanan karier Afgan bermula dari album pertama, Confession No.1 pada 2008 hingga album terkini beliau berjudul, DEKADE.
Diiringi The Gandarianz, Afgan menyampaikan kesemua lagi hits antaranya Pesan Cinta, Love Again, Kunci Hati, Jodoh Pasti Bertemu, Sudah dan juga nyanyian lagu duet bersama kumpulan Ikonik Hip Hop dan R&B Malaysia Ruffedge dengan lagu I’ll Make Love to You.
Konsert gemilang itu juga turut dihadiri Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan mencemar duli berangkat ke konsert ini dan para selebriti lain antaranya Nur Fazura, Zahirah MacWilson, Puteri Aisyah, Elvina, Nazim Othman dan ramai lagi.