Genap setahun bergelar suami, Zaki Azeman kini memegang status baharu dalam hidupnya – seorang bapa.
Zaki Azeman dan isterinya, Siti Nur Shahira atau lebih dikenali sebagai Raa Suzuran selamat menimang anak pertama di sebuah pusat perubatan di Seri Kembangan, Selangor. Putera sulung mereka dilahirkan secara normal pada jam 5.06 pagi Sabtu lalu.
Khabar gembira itu dimaklumkan sendiri oleh Zaki Azeman menerusi beberapa perkongsian di Instagram Story. “Assalamualaikum anak Daddy. Isteri selamat melahirkan bayi lelaki pukul 5 pagi tadi. Maaf yang mana hubungi/mesej Zaki, kami berdua tak cukup rehat,” kongsinya.
Raa Suzuran yang merupakan seorang pempengaruh dan streamer turut memuat naik foto keluarga kecil mereka di akaun miliknya. Bagaimanapun wajah putera mereka tidak didedahkan. “Alhamdulilllah syukur untuk segalanya. Anak lelaki, 3.73kg, normal, besar betul ya. Maka dengan ini bermulalah perjalanan baru sebagai ibu dan ayah. Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan kami. Tak henti-henti dapat notifikasi daripada semua.”
Dalam perkongsian lain, bintang Ku Akad Kau Dengan Bismillah itu mendedahkan nama permata hatinya, Rizqy El Zafran. Dia turut meluahkan rasa teruja kerana puteranya memiliki lesung pipit sama sepertinya.