The Weeknd nampaknya serius apabila memaklumkan dia mahu mengucap selamat tinggal kepada nama pentas.
Dua hari lalu, The Weeknd secara rasmi menukar namanya di Instagram dan Twitter kepada nama sebenar, Abel Tesfaye. Keputusan ini dibuat tidak lama selepas artis itu meluahkan hasrat untuk tidak lagi menggunakan nama pentas selepas pelancaran albumnya yang akan datang.
Katanya kepada W Magazine awal bulan ini, “Saya kini sedang melalui fasa katarsis. Sudah tiba masa dan tempat yang sesuai untuk saya menutup bab The Weeknd. Saya tetap akan menghasilkan muzik, mungkin sebagai Abel, mungkin sebagai The Weeknd. Tetapi saya tetap mahu ‘menguburkan’ The Weeknd. Dan saya akan melakukannya. Saya mahu menyingkirkannya dan dilahirkan semula.”
Penyanyi, penulis lirik dan aktor itu menambah, kemungkinan kali terakhir dia menggunakan nama pentasnya adalah untuk album terbarunya. “Album yang sedang saya usahakan sekarang mungkin adalah yang terakhir saya sebagai The Weeknd. Ini adalah sesuatu yang saya perlu lakukan. Sebagai The Weeknd, saya telah katakan segalanya yang saya mahu katakan.”
Bintang berusia 33 tahun itu mula menghasilkan muzik dalam talian secara anonymous pada tahun 2009 sebelum menggunakan nama pentas Noise dan Kin Kane. Dia akhirnya memilih nama The Weeknd dan meraih kemasyhuran pada awal 2010-an.