Hasrat Lama The Weeknd Menjadi Kenyataan
Idea untuk menukar nama pentas bukanlah sesuatu yang baru daripada pelantun lagu Blinding Lights itu. Dia meluahkan keinginannya kepada peminat buat kali pertama pada April tahun lalu. “Anda semua kelakar. Rasanya saya perlu menukar nama pentas saya kepada ABEL,” tulisnya di akaun Twitter rasmi. Selang beberapa minit dia menambah, “Mungkin mengikut jejak langkah YE dan menukar nama saya secara rasmi kepada ABEL. Tiada nama keluarga. Seperti Madonna, Cher atau Prince.”
Pelantun lagu Love Me Now, John Legend nampaknya menyokong idea tersebut dengan menulis, “ABEL nama yang bagus.” The Weeknd kemudian membalas ciapan John dan mengakui dia amat ‘tergoda’ untuk meneruskan hasrat tersebut.
Bintang Kanada itu sebelum ini pernah berbicara mengenai nama pentasnya dalam satu wawancara bersama GQ. Jelasnya, dia membuat satu garisan untuk memisahkan persona awam dengan personalitinya yang sebenar.
“Garisan itu agak kabur pada awalnya. Apabila kerjaya saya berkembang – kala diri saya berkembang sebagai seorang lelaki – amat jelas bahawa Abel adalah ‘insan’ yang saya bawa pulang ke rumah setiap malam. The Weeknd pula personaliti yang saya bawa bila pergi bekerja. Abel boleh menjadi agresif kadangkala. Tetapi saya rasa The Weeknd adalah Hyde, manakala Abel pula Dr Jekyll,” jelasnya, merujuk kepada dua karakter dalam novel terkenal Strange Case of Dr Jekyll and Mr Hyde.
Penyanyi berketurunan Ethiopia itu juga menyatakan dia telah belajar bagaimana untuk membezakan dua sisi personalitinya sebagai seorang artis. “Saya tetap menyukainya, namun rasanya kini lebih mudah untuk saya menyesuaikan diri. Saya gembira kerana mempunyai pilihan untuk keluar daripada personaliti Abel.”
Baca: 5 Fakta Mengenai Pempengaruh Palestin Simi Khadra, Kekasih Baru The Weeknd