Hampir setiap karya Amira Othman berjaya mencatat jumlah tontonan yang tinggi di YouTube, dengan sebahagiannya mencecah angka berjuta-juta.
Amira Othman mula dikenali umum selepas menyertai Akademi Fantasia musim ke-10 pada tahun 2013, di mana bakat nyanyiannya mula mendapat perhatian.
Walaupun tidak bergelar juara, penyanyi kelahiran Johor ini membuktikan bahawa platform tersebut hanyalah titik mula kepada perjalanan seninya. Dan kini selepas lebih sedekad bergiat dalam bidang muzik, lagu-lagunya bukan sahaja mendapat tempat di carta radio, malah sering diangkat sebagai runut bunyi drama popular!
Lima lagu hits Amira Othman yang pernah mencuri perhatian ramai dan mencatatkan jumlah tontonan tinggi di YouTube.
Dalam Sujudku
Lagu balada penuh syahdu yang pernah menjadi runut bunyi drama Dia Bukan Syurga. Dengan vokal yang merdu dan lirik yang menyentuh perasaan, lagu ini berjaya mengumpul lebih 4 juta tontonan di YouTube selepas hanya 3 bulan dilancarkan, menjadikannya antara karya paling menonjol.
Bila Nak Kahwin?
Lagu yang catchy dan sarat humor ini sering menjadi siulan ramai sejak dilancarkan. Dengan gaya santai tetapi masih mengekalkan keaslian vokal Amira, muzik video ini kini mencatat lebih 2.4 juta tontonan di YouTube.
Jaga-Jaga
Dihasilkan untuk drama popular Abang Bomba I Love You, lagu ini terus mencuri perhatian sejak mula diperkenalkan. Aura drama yang dekat dengan penonton membantu melonjakkan populariti Jaga-Jaga, yang kini mencatat sekitar 12 juta tontonan di YouTube.
Hati-hati
OST drama popular Sha dan Shah ini menjadi antara karya paling besar dalam karier Amira. Dengan susunan muzik segar dan vokal yang merdu, lagu ini berjaya meraih lebih 2.3 juta tontonan di YouTube.
Rasa & Takdir
Antara lagu terbaru Amira kolaborasi bersama adiknya, Irfan Haris yang semakin mendapat perhatian, Rasa & Takdir menampilkan kematangan dalam susunan muzik serta vokal yang lebih dewasa. Walaupun angka tontonan rasmi belum mencapai jutaan tontonan, lagu ini sudah menempatkan diri sebagai salah satu karya penting dalam katalog muziknya.
Berkait tentang kisah cinta bersama bakal suami, Fattah Amin, bibit lirik Rasa & Takdir menceritkan tentang doa, rasa bersyukur dan menerima bahawa ada perkara yang kita tak boleh kawal.