Meskipun watak Buntat sudah tiada lagi di dalam drama slot Akasia di TV3 yang berjudul 7 Hari Mencintaiku, namun kanak-kanak yang berusia 12 tahun yang melakonkan watak Buntat itu kini menjadi perhatian ramai.
Lakonan Muhammad Ariff sebagai Buntat sudah terkesan di jiwa ramai dek kerana merasakan kesedihan serta kesakitan yang dialami olehnya di dalam drama tersebut.
Ariff merupakan seorang kanak-kanak yang berasal dari Jitra, Kedah dan menghidap penyakit disleksia sejak berusia tujuh tahun lagi. Lakonannya ternyata membuatkan ramai mengalirkan air mata, lagi-lagi pabila watak Buntat itu dimatikan pada episod 21 yang lalu.
Menurut laporan MH Online, Ariff pada mulanya muncul dalam filem Jibam sebagai watak utama. Pada mulanya ibubapa kepada Ariff di dalam dilema sama ada ingin menerima tawaran berlakon tersebut kerana bimbang jika anaknya itu tidak dapat buat yang terbaik seperti mana yang diinginkan dek kerana penyakitnya.
Penyakit yang dihadapinya membuatkan Ariff mengalami masalah membaca dan ini sekaligus menyulitkan proses untuk menghafal skrip. Tetapi disebabkan itu, Ariff diberikan seorang tenaga pengajar untuk membantunya dalam menghafal skrip.
Menerusi lakonannya di dalam drama 7 Hari Mencintaiku ini, ia dibimbing sendiri oleh ibunya iaitu Rosdiana Mastura Abdullah. Bagi Rosdiana, semenjak Ariff mula menceburi bidang lakonan dia kini sudah pandai berkomunikasi dengan orang disekeliling berbanding sebelum ini yang lebih gemar menyendiri.
“Keyakinannya semakin tinggi dan ketika kali pertama saya bawa dia berjumpa peminat Khamis lalu, Ariff dapat mengawal suasana dengan baik. Saya akui pada awal kemunculannya, Ariff agak janggal apabila tiba-tiba menjadi tumpuan ramai. Namun kami sekeluarga banyak menasihatinya dan terangkan situasi yang dihadapinya sekarang. Kadang-kadang dia menangis juga bila letih melayan peminat seharian, tapi bila kami terangkan, dia faham,” kata Rosdiana kepada MH.
Setakat ini, Ariff sudah mendapat tiga tawaran untuk berlakon tetapi masih tidak membuat sebarang keputusan sama ada menerimanya atau tidak kerana ibubapanya masih belum meniliti setiap watak yang diberikan.
Pelakon kanak-kanak yang lebih dikenali sebagai Buntat sekarang ini sebenarnya banyak mempelajari ilmu lakonan dengan menonton drama. Baginya, Puteri Balqis adalah seorang pelakon kanak-kanak yang menjadi rujukannya.