Dalam dunia skincare, ilmu sangat penting. Fahami bahan-bahan yang anda gunakan, baca label dengan teliti, dan jangan terlalu ghairah mencampur pelbagai produk sekaligus. Kulit anda perlukan konsistensi dan keseimbangan, bukan eksperimen setiap hari!
Semakin mendalam kita menyelami dunia kecantikan, semakin seronok kita mencuba pelbagai produk dan bahan aktif seperti retinol, vitamin C, AHA dan niacinamide yang menjanjikan kulit halus berseri. Rasa macam pakar bila berjaya gabungkan semuanya dalam satu rutin.
Tapi hati-hati! Tidak semua bahan aktif sesuai digabungkan. Silap langkah, bukan sahaja boleh akibatkan kulit kering dan pedih, malah berisiko breakout teruk. Untuk bantu anda elak ‘drama’ kulit yang tak diundang, EH! senaraikan lima kombinasi bahan aktif yang patut dijauhi agar kulit kekal sihat, glowing dan bebas masalah.
Lima Bahan Dalam Skincare Yang Tidak Boleh Dicampur Bersama;
1. Retinol + AHA/BHA
Dua-dua bahan ini sangat bagus untuk memperbaharui kulit tapi apabila digabungkan, ia boleh menjadi terlalu ‘harsh’ dan boleh menyebabkan iritasi atau over-exfoliation. Gunakan AHA/BHA pada waktu berlainan contohnya waktu pagi dan simpan retinol untuk malam.
2. Vitamin C + Niacinamide
Walaupun kedua-duanya popular untuk mencerahkan kulit dan mengurangkan bintik gelap, gabungan ini boleh mengganggu keberkesanan antara satu sama lain. Gunakan secara berasingan contohnya Vitamin C waktu pagi, niacinamide pada malam hari.
3. Benzoyl Peroxide + Retinol
Kedua-duanya bagus untuk rawat jerawat, tapi bila digabungkan, benzoyl peroxide boleh mengurangkan keberkesanan retinol, malah mengeringkan kulit secara berlebihan. Elakkan pakai pada waktu yang sama gunakan satu pada pagi, satu lagi pada malam
4. Vitamin C + AHA/BHA
Gabungan ini boleh menjadikan kulit terlalu sensitif, terutama untuk mereka yang baru dalam dunia skincare. Kedua-duanya bersifat asidik dan boleh menyebabkan pedih, kemerahan berlebihan. Gunakan pada hari yang berbeza atau jarakkan pemakaian dalam rutin anda.
5. Niacinamide + AHA
Walaupun tidak semua orang akan mengalami masalah, gabungan ini boleh menyebabkan kemerahan atau iritasi untuk kulit sensitif. Jika mahu guna juga, pastikan kadar kepekatan rendah dan beri masa antara satu produk ke satu produk lain.
Artikel Berkaitan: Kulit Naik Biji Halus? Ini Punca Dan Cara Rawat