Selain gaun, gaya rambut selebriti di karpet merah Golden Globes yang berlangsung semalam juga tampil pelbagai. Ada yang bold ada juga yang ringkas. EH! pilihkan gaya yang mudah untuk anda tiru.
SELENA GOMEZ
Gaya rambutnya ringkas, disanggul kemas dengan rambut belah tengah di bahagian hadapan. Untuk mendapatkan gaya dandanan ini, bahagikan rambut kepada dua bahagian.
Bahagian pertama di bahagian atas kepala dan bahagian keduanya adalah rambut yang akan diikat dan disimpul sebagai sanggul.
Selepas rambut disanggul kemas (pastikan ia kelihatan dari depan), kemudian sisir belah tengah rambut di bahagian pertama tadi, dan tarik kemas dan ‘lilit’ sanggul yang sudah siap tadi.
HUNTER SCHAFER
Dia antara yang menyerlah di karpet merah dalam balutan gaun merah samar Prada. Dandanannya nampak mudah tapi ada cabarannya yang tertentu. Rambut Hunter disisir kemas, serapi-rapinya dengan ikatan yang ketat di bahagian belakang.
Cabarannya ialah ungtuk memastikan semua rambut ‘bersatu’, dan anak-anak rambut turut ‘melekap’. Solusinya, produk penggayaan yang tepat seperti gel, wax atau hair spray sangat membantu.
ELLE FANNING
Gaya updo belah tepi yang memang sudah biasa. Jadi tiada masalah untuk anda dapatkan gaya ini. Produk penting ialah alat pelurus rambut (iron) dan penyembur rambut.
Biarpun rambut diikat atau disanggul, seeloknya anda luruskan rambut (boleh juga gunakan pengering rambut jika mahu efek yang lebih volum). Sikat rambut belah tepi, kemudian ikat. Anda boleh simpulkan rambut untuk gaya updo. Jika ikutkan gaya Elle Fanning ini, rambutnya tidak leper, dibiarkan sedikit volum untuk nampak bersahaja.
NATALIE PORTMAN
Stail dandanan aktres berkaliber ini sering sahaja kelihatan classy. Gaya low ponytail yang digayakan Natalie ini boleh kita gayakan sendiri, ringkas namun malar segar.
Apa yang perlu anda lakukan ialah ratakan minyak rambut pada seluruh rambut. Jangan terlalu banyak kelak rambut terasa berat, cukup semata untuk dapatkan efek rambut yang sihat bersinar. Siri rambut dengan gaya belah tengah, kemudian ikat.
JENNIFER ANISTON
Saya tak berani kata yang gaya rambut ini mudah direalisasikan. Stail ini banyak bergantung pada gaya potongan rambut. Jennifer Aniston memang masyhur dengan gaya rambut potongan berlaps-lapis (layered) sebegini sejak zaman kemunculannya di sitkom F.R.I.E.N.D.S. Jadi gaya sebegini memang sudah sinonim dengannya, dan dia memang nampak cantik dengan stail ini.
Bagi mendapatkan gaya ini anda perlu mahir menggunakan pengering rambut. Rambutnya lurus tapi masih ada volum. Caranya, sapukan rambut dengan mousse. Kemudian bahagikan rambut kepada beberapa bahagian dan keringkan rambut bahagian demi bahagian. Mudah sahaja.