Christian Dior, Designer of Dreams, pameran yang tak ubah bagaikan sebuah mimpi indah yang membawa kita menelusuri kembara agung sebuah jenama yang sarat disulami seni kreatif luar biasa. Saya bariskan mengapa yang berlangsung di Seoul ketika ini antara edisinya yang paling menarik!
Christian Dior Designer of Dreams, sebuah pameran yang bagai merealisasi rencam mimpi saya secara peribadi. Saat Dior Beauty melayangkan undangan ini pastinya saya sahut dengan pintu hati yang terbuka seluasnya. Masakan tidak, saya pernah melangkah ke pameran ini yang pertama kali dibuka kepada umum di kota Paris pada tahun 2017. Saat itu saya pergi sendiri, kebetulan berada di Paris untuk satu tugasan. Waktu senggang yang ada saya larutkan diri dengan mengamati seni agung dari rumah fesyen yang juga dianggap agung oleh fanatik fesyen seantero dunia.
Tak puas, dan ini adalah peluang untuk saya mengamati kembali memori yang pernah terakam. Tambahan saya percaya selepas mengembara di beberapa kota, pameran ini pastinya ditambah baik dari satu destinasi ke satu destinasi.
Christian Dior Designer of Dreams dibawa mengembara dari Paris ke London, Shanghai, Chengdu, New York, Doha, Tokyo dan Riyadh terlebih dahulu sebelum berlabuh di Dongdaemun Design Plaza, Seoul, Korea Selatan. Pameran di salah satu bangunan ikonik Seoul ini membuka pintunya kepada umum sehingga tanggal 13 Julai 2025.
Kunjungan saya ke sini bersama Dior Beauty pastinya membekas memori lebih bermakna kerana ia bukan sekadar lawatan biasa kerana kami dibawa menjelajah tiap sudut bersama Florence Müller, kurator pameran ini sendiri. Jadi langkah kami setiap ruang tidak hanya dijamu dengan visual yang memukau namun diiringi dengan kisah yang amat menarik.
1- IMBASAN MEMORI AWAL DIOR
Saat kaki melangkah ke ruang pertama, akan terdengar suara yang seakan bercerita, dan itu adalah suara milik Mr Christian Dior sendiri. Ia bagaikan mengalu-alukan kedatangan tiap pengunjung. Mata juga akan terpana melihat sekumpulan model berkumpul di tangga butik pertama Christian Dior di Avenue Montaigne. Foto-foto belakang tabir pembikinan helaian Dior di butik ini juga dibingkaikan menghiasi Dinding.
Melangkah setapak ke ruang kedua ‘NEW LOOK’ di mana itu adalah permulaan era buat Dior. Pengenalan sut bar pada Februari 1947 dengan skirt kembang menjadi satu fenomena ketika itu. Rekaan jaket bar itu menjadi ‘kiblat’ identiti bagi Dior sampai ke hari ini, namun dibega-bega mengikut arus trend semasa. Tanpa mengubah banyak pun, bagi saya ‘New Look’ Dior itu boleh hidup di mana-mana era saja kerana gayanya malar segar.
Dua ruang ini bagi saya adalah satu peluang tepat untuk sesiapa mengenal dan memahami sejarah awal permulaan Christian Dior sebagai sebuah jenama fesyen agung Paris.
2- BUSANA MISS DIOR
Melangkah masuk ke ruang MISS DIOR bagai menggembur kembali memori saat saya berpergian ke Tokyo menghadiri pameran Miss Dior Exhibition Stories of a Miss di Tokyo tahun lalu. Haruman pertama yang dilancarkan Dior ini diperkenalkan pada tahun 1947, yang mana haruman ini didedikasikan oleh Mr Christian Dior buat adiknya, Catherine Dior.
Melangkah masuk ke ruang ini mata akan terpana melihat hasil kerja Eva Jospin yang melatari dinding dan kubah ruang ini. Mata juga pastinya akan terpegun melihat dua gaun yang pernah digayakan pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Oscar, Natalie Portman untuk kempen Miss Dior sebelum ini. Kedua-dua gaun yang dipertontonkan adalah hasil garapan Maria Grazia. Di ruang ini juga dipamerkan potret serta botol Miss Dior dari pelbagai era termasuk yang dijual dalam edisi terhad.
3- IKONIK J’ADORE
Bagi sesiapa yang membesar dengan melihat kempen J’ADORE, ruang ini pastinya menghidupkan kembali memori apabila melihat busana yang pernah digayakan Charlize Theron. Ada tiga busana yang pernah disarung Charlize Theron menjadi bahan pameran termasuk yang direka oleh John Galliano untuk kempen J’adore pada tahun 2008. Busana warna krim yang menggunakan kain crepe itu dihiasi batu jemeki yang memancar.
Lebih istimewa, para pengunjung juga dapat melihat busana yang digayakan Rihanna di dalam kempen terbaru J’adore yang dilancarkan tahun lalu. Busana yang diilhamkan oleh Maria Grazia itu lengkap dengan aksesori mutiara di bahagian leher dan tangan. Kempen tersebut dirakamkan di Palace or Versailles, malah lantai di ruang pameran ini dicipta dengan gaya lantai menyerupai gaya lantai di Versailles.
4- KERJA TANGAN MEGA HYUNJOO KIM, ARTIS KOREA
Saya percaya ini akan menjadi ruang kegemaran ramai mana-mana pengunjung yang datang. Masakan mata takkan terpegun melihat hasil kerja tangan artis Korea, HyunJoo Kim yang cukup cermat lagi detil dalam mencipta taman serba putih sebagai latar kepada busana yang menghiasi keliling ruang ini. Menggunakan teknik Hanji, HyunJoo Kim menggunakan kerta Korea yang diperbuat daripada fiber mulberi.
Lebih menarik, busana yang dipilih menrentasi ruang ini disusun warnanya mengikut nuansa musim, dari ton musim bunga, panas, luruh hingga ke musim dingin. Busana ini dipilih dari era Mr Christian Dior sendiri hinggalah ke era Maria Grazia.
5- GABUNGAN DRAMATIK
Bagi saya secara peribadi, ruang COLORAMA khususnya dipersembahkan dengan nuansa yang dramatik. Tiap busana digandingkan dengan aksesori, haruman, aksesori dan objek unik dan dipersembahkan mengikut warna. Melihatkan gaya ruangan ini, membuatkan mata ralit melihat satu persatu. Ia menyuntik rasa mewah dan gah, saya sendiri terasa betapa mewahnya rumah fesyen ini.
6- MELIHAT TOILE, PELUANG SEKALI SEUMUR HIDUP!
Secara jujurnya ini adalah ruang kegemaran saya, saya sendiri berharap saya punya masa yang lebih lama untuk berada di sini. Mengapa? Kerana bukanlah selalu kita dapat melihat toile busana ikonik sebuah jenama terkenal dunia. Bagi yang tidak tahu, toile adalah baju yang dihasilkan menggunakan fabrik kapas atau linen sebelum satu-satu busana dihasilkan dengan fabrik sebenar.
Tidak banyak pameran fesyen yang mempamerkan toile. Malah bagi Dior, mereka mula menyimpan toile sejak era John Galliano dilantik sebagai pengarah kreatif. Lagi satu saya rasa ini adalah ruang yang sangat cantik jika anda mahu bergambar. Latar belakang serba putih berserta pencahayaan yang terang, foto anda pasti stand out!
7- SENTUHAN ARTIS KOREA
Setiap destinasi pameran Designer of Dreams, Dior akan memberi sentuhan eksklusif menerusi kolaborasi bersama artis lokal, termasuklah di Seoul ini. Seni budaya Korea Selatan disuntik pada ilham dan juga budaya tradisi Korea menerusi kolaborasi ini. Antara yang dapat dilihat secara jelas ialah menerusi kain tirai yang membahagikan ruang di bilik THE DIOR LEGACY. Dikenali sebagai Jogakbo, yakni teknik tampalan kain dan selalunya menggunakan Bojagi, fabrik yang digunakan sebagai kain pembalut.
Sentuhan artis Korea Selatan juga dapat dilihat pada ruang LADY DIOR. Di sini puluhan tas tangan kegemaran Puteri Diana itu ditampilkan dalam gaya yang cukup kreatif menurut interpretasi artis tempatan. Apabila berada di ruang ini, luangkanlah lebih masa untuk mengamati satu persatu hasil seni yang pada saya amatlah kreatif dan ilham di luar kotak.
8- KARYA 7 LEGENDA FESYEN DUNIA
Sejak diperkenalkan, Dior dibarisi tujuh individu kreatif yang sudah mencapai status legenda di dalam bidang fesyen dunia. Ruang THE DIOR LEGACY dibahagikan kepada tujuh untuk pengunjung mengamati karya ikonik tujuh pengarah kreatif Dior, dan menariknya susunan dimulakan dari koleksi Maria Grazia, diikuti Raf Simons sampailah yang terakhir Mr Christian Dior sendiri. Dari sini kita dapat melihat interpretasi ‘Dior’ dari kaca mata Yves Saint laurent, Marc Bohan, Gianfranco Ferré dan ilham penuh drama John Galliano.

9- BUSANA PUTERI DIANA & BINTANG TERSOHOR YANG LAIN
Saya paling teruja apabila dapat melihat dengan mata saya sendiri busana yang pernah digayakan oleh Puteri Diana. Sering saja melihat gambar Puteri Diana dalam persalinan biru gelap itu di dalam majalah dan juga internet, saya cukup menghargai peluang ini apabila dapat melihat dengan dekat busana terkenal ini. Gaun tersebut adalah rekaan John Galliano yang digayakan oleh Puteri Diana sewaktu dia menghadiri ulang tahun Dior ke-50 yang berlangsung di Metropolitan Museum of Art di New York pada tahun 1996.

Saya juga teruja melihat secara dekat busana yang dicipta oleh maria Grazia untuk penyanyi legenda Celine Dion yang digayakannya tahun lalu sepempena pembukaan sukan Olimpik yang berlangsung di Paris. Turut dipamerkan ialah busana yang pernah disarung oleh Jisoo, Charlize Theron, Jennifer Lawrence, Jenna Ortega dan Anya Taylor-Joy.
Kesimpulan yang boleh saya katakan, pameran ini bukan sekadar pameran fesyen yang menayangkan baju-baju dari arkib, ia bagaikan bercerita tentang sejarah, ia sebuah ruang yang mendidik untuk kita menghargai seni dan yang paling penting ia adalah sebuah pameran yang penuh dengan inspirasi. Pesan saya, jika anda merancang melancong ke Seoul sebelum 13 Julai (saya tahu ramai orang Malaysia suka ke Seoul), luangkan sedikit masa ke Christian Dior, Designer of Dreams kerana ia akan membuka mata anda untuk mengenali Dior dari sisi yang berbeza.