Bleu De Chanel menyatukan jiwa kebebasan lelaki dalam tiga komposisi berbeza, tiap satu ada misteri pada personalitinya.
Dikhabarkan ini antara haruman avant garde buat lelaki di Chanel. Dikhabarkan juga ini antara minyak wangi yang menjadi sanjungan ramai lelaki seluruh dunia. Ya, mengapa tidak selepas 12 tahun diperkenalkan Bleu De Chanel sudah tampil bervariasi hasil cintanya lelaki pada semburan harum ini. Bermula dengan Eau De Toilette, kemudian ‘beranak’ kepada versi Eau De Parfum dan terkini Parfum pada tahun 2018.
Bleu De Chanel mula dipuja-puji dari saat pengenalannya. Di tangan Jacques Polge maka lahirlah haruman yang dibotolkan dalam kelalang kaca empat segi ini. Jacques Polge mula berkreasi haruman buat Chanel sejak tahun 1978 lagi sampailah ke tahun 2014. Kehebatannya sebagai ‘The Nose’ di Chanel disambung oleh putera kesayangannya, Oliver Polge yang mula berkhidmat di Chanel pada tahun 2015 sehingga kini.
Menerusi tiga edisi dan komposisi ini, saya percaya tiap satunya punya mesej berbeza yang mahu disampaikan. Bagi sebuah rumah fesyen berprestik seperti Chanel, saya percaya mereka bukan sekadar mahu menjual haruman tetapi pasti ada kisah dan ceritera yang menarik disampaikan, ada faktor mengapa setiap komposisi disenyawakan.
BLEU DE CHANEL EAU DE TOILETTE- KEBEBASAN JIWA MUDA-MUDI
Haruman ini saya tafsirkan sebuah karoma yang sangat ringan dan segar. Tiap percikannya menebarkan kesegaran sitrus yang disatukan dengan aroma kayu-kayan seperti cendana. Baunya ringan, terawang-awang di udara penuh rasa nyaman. Bagi saya ia satu perlambangan kepada kebebasan jiwa muda-mudi, yang tidak mahu terikat dan masih mahu mencuba segalanya. Rasa ingin tahu menebal namun tiap satu pengalaman itu disimpan dan disemat cukup rapat.
BLEU DE CHANEL EAU DE PARFUM- LELAKI BERVISI & MISTERI
Puas mencuba dan mencari istilah kebebasan, akan sampai satu fasa lelaki mula tahu kemahuan diri, apa yang dihajatkan dalam hati. Mereka mula fokus dan ada hal yang mereka simpan dan pendam, mereka mula punya menjadi sedikit ‘misteri’. Perancangan ada tapi dikongsi bila menjadi. Edisi eau de parfum lebih ‘dalam dan pekat’ dengan kehadiran vetiver, amber dan nota sedar. Kehadiran tiga serangkai ini membuatkan adunan sitrus lebih mengasyikkan.
BLEU DE CHANEL PARFUM- LELAKI SOFISTIKATED
Pada tahun 2018, Olivier Polge memperkenalkan edisi Parfum, baunya lebih sarat dengan elemen kejantanan. Dia mencampur adukkan kayu cendana Caledonian bersama kayu sedar, lantas membuatkan haruman ini sangat eksklusif, semerbak baunya menjadi wakil kepada jiwa dan personaliti lelaki yang sofistikated.
Ketiga-tiga komposisi ini boleh didapati di butik kecantikan Chanel dan juga secara dalam talian di SINI! Inilah haruman yang mungkin paling sempurna untuk Hari Bapa tahun ini!