Haruman antara item grooming atau penjagaan diri amat penting dalam gerobok merias diri. Menyembur minyak wangi adalah penyempurna atau penaik seri kepada penampilan diri.
Calvin Klein bukanlah satu jenama asing, dari fesyen bawa ke haruman, jenama kelahiran Amerika Syarikat ini punya bermacam-macam haruman ikonik, dari ONE ke Eternity, Calvin Klein membawa mesej nan pelbagai dalam masyarakat. Calvin Klein menerusi haruman terbarunya, Defy, menebarkan aura lelaki moden menerusi ramuan haruman yang mencetus jiwa maskulin moden.
Calvin Klein mahu menjentik jiwa lelaki untuk lebih berani. Haruman yang beridentitikan kelalang bersegi jernih ini mendapat sentuhan magis pakar haruman terkenal, Anne Flipo yang resumenya dibarisi pelbagai minyak wangi ikonik.
Calvin Klein Defy disifatkan sangat segar, ciri-ciri maskulin cukup menonjol hasil karakter baunya yang woody, tidak keterlaluan namun masih punya identiti. Ia berbau ringan, sesuai disembur sebagai haruman harian. Calvin Klein Defy diperindahkan dengan adunan bahan-bahan seperti bergamot dan lavender. Baunya bertambah harum dengan campuran minyak vetiver yang dibawa dari Haiti serta diramu bersama nota cendana (amber notes). Haruman ini diabadikan di dalam kelalang kaca jernih yang dicipta oleh Malin Ericson, yang mana dari luar jelas terlihat haruman ini berona biru cair.
SIAPA WAJAH CALVIN KLEIN DEFY?
Wajah tampak aktor kelahiran Scotland, Richard Madden menjadi suntingan Calvin Klein untuk menghiasi kempen rasmi haruman terbarunya. Richard, yang berusia 35 tahun sebelum ini cukup terkenal menerusi pelbagai projek seni bertaraf mega seperti Game of Thrones serta filem dongeng Disney, Cinderella. Dia juga pernah membintangi filem autobiografi Elton John, Rocketman.
Richard mula mencuba nasib ke dunia lakonan ketika usianya mencecah 11 tahun dan mendapat peluang muncul di layar perak pada tahun 2000. Tahun 2018 menyaksikan kegemilangan Richard apabila dia diiktiraf sebagai Aktor Terbaik di Golden Globe Awards dan Golden Nymph Awards yang digondol menerusi aksi hebatnya di dalam siri Bodyguard.
Calvin Klein Defy, RM411 (100ml) dan RM316 (50ml).
Baca: ‘Modern Essentials’ Sandaran Koleksi the Heron Preston for Calvin Klein