EH! diterbangkan ke Gaujacq, Perancis untuk melawat sendiri kebun bunga camelia yang memang teramat sinonim dengan Chanel, baik dalam koleksi adi busanaya mahupun rangkaian produk kecantikan ikoniknya.
Gaujacq, satu destinasi yang memang jarang-jarang kita dengar jika hendak dibandingkan dengan daerah lain di Perancis. Ia mungkin tidak semasyhur lokasi lain seperti Cannes, Grasse mahupun Bordeaux. Tapi Gaujacq adalah salah satu ‘lanskap’ penting dalam kamus resipi rangkaian kecantikan Chanel.
Bertolak dari Kuala Lumpur, singgah ke Dubai sebelum lapan jam penerbangan ke Paris. Kemudian lena semalaman sebelum berangkat ke Biarritz dengan menaiki keretapi laju. Dan sepanjang perjalanan ke Biarritz (sekitar empat jam), pemandangannya memang saujana mata memandang. Tambahan pula hari tersebut adalah hari pertama umat Islam di Perancis berpuasa, maka hanya menjamu mata dengan melihat keindahan alam sepanjang perjalanan. Chanel juga menyediakan khidmat perunding kecantikan yang menawarkan khidmat urutan tangan selama 20 minit. Paling tidak ia membuat mata segar yang masih dalam melawan jetlagged dan lapar.
Tiba di Biarritz, saya, Joan (penulis dari penerbitan yang lain) dan Jini (wakil Chanel) menginap di Hotel du Palais Biarritz, yang mana bangunan ini asalnya adalah sebuah istana musim panas yang dibina oleh Napoleon III buat isterinya, Eugenie.
ADA 2000 VARIASI CAMELIA DI GAUJACQ
Tanggal 12 Mac, adalah tarikh yang dinanti. Seawal jam 10 pagi, kami bertolak dari Biarritz menuju ke Gaujacq. Perjalanan mengambil masa satu jam 30 minit. Bertuah rasanya apabila cuaca pans terang menderang. Orang-orang di Chanel kata kami bertuah kerana semalam hujan seharian.
Dari pintu gerbang ke bangunan kecil, sudah dapat didengari bunyi unggas dan burung-burung. Tenang dan perasaan kala itu teruja, kerana inilah pertama kali saya melihat menjejakkan kaki ke kebun bunga Camelia. Sebelum ini sekadar tahu tentang kebunnya di Gaujacq.
Sebelum bermula acara kami disediakan but getah, warnanya biru gelap, penyempurna jejak-jejak kami di kebun camelia milik keluarga Thobys. Sebaik melangkah ke ruang utama, saya nampak kelibat Jean Thoby, rambutnya putih dan dia sudah lengkap dengan but. Turut ada bersama ialah Armelle Souraud, Pengarah Saintifik dan Komunikasi Antarabangsa Chanel. Usai kata pembuka dari Armelle dan Jean sendiri, Jean membawa kami meneroka kebun camelia yang diwarisi dari keluarganya.
Sedikit pengenalan tentang Jean Thoby, keluarganya mengusahakan aldang bunga camelia sudah menjangkau lima generasi. Cinta dan dedikasinya kepada menanam dan menyubur camelia memang tiada taranya. Dari kecil lagi dia sudah betah melihat kerja-kerja di ladang, jadi bukanlah sesuatu yang mengejutkan bila dia arif tentang bunga kegemaran Coco Chanel ini.
Chanel menjalin kerjasama dengan Jean Thoby sejak tahun 1998. Open Sky Lab (makmal terbuka) usaha sama Jean dan Chanel ini adalah ruang untuk mereka melindung, mengkaji dan semestinya menyuburkan tanaman ini. Dan menariknya adalah cara mereka menjaga camelia. Ia secara semula jadi, tidak menggunakan bahan kimia. Mereka menyuburkannya dengan memelihara unsur alam sekeliling.
Bak kata Jean Thoby, hidupan alam boleh melindungi diri mereka sendiri selagi tiada tangan-tangan manusia mengubahnya. Jadi, adalah amat penting untuk Jean dan pasukannya memastikan ekosistem di ladang pemeliharaan ini dijaga sebaiknya.
Di sini, terdapat lebih 3000 jenis tumbuh-tumbuhan termasuklah 2000 varisi bunga camelia. Ya, anda tidak tersilap baca, memang ada ribuan jenis bunga camelia. Malah saya akui, sebelum ini saya ingatkan bunga camelia ada warna putih sahaja sehinggalah Chanel memperkenalkan No 1 De Chanel pada tahun 2021.
Rangkaian anti penuaan ini merupakan produk pertama Chanel yang memanipulasi kehebatan bunga camelia merah, yang mana bunga camelia merah tetap mekar berkembang biarpun di musim dingin (akan saya ceritakan lebih di sambungan artikel ini akan datang).
Cuaca di Gaujacq memang sesuai dengan pertumbuhan bunga camelia. Cuacanya mirip dengan cuaca di China dan Jepun. Biar musim bertukar, hujan tetap ada sepanjang tahun. Hari ini, bunga camelia juga sudah semakin banyak di Jerman.
Bila ditanya berapa lama pokok camelia mengambil masa untuk berbunga dari awal ditanam, jawab Jean paling awal 15 tahun. “Pokok camelia yang baru ditanama perlukan masa sekurang-kurangnya 15 tahun sebelum ia mengeluarkan bunga. Dan pada permulaan itu hanya 50 peratus sahaja bunganya. Malah ada yang ambil masa berpuluh tahun,” kongsinya.
Menurut Jean, sejak mereka menggandakan usaha dalam memelihara ekosistem di ladangnya, burung dan serangga di sini bertambah 50 peratus. Burung dan serangga adalah penyumbang penting dalam pertumbuhan tanaman di sini (di mana-mana sekalipun), kerana mereka adalah faktor penting dalam ekosistem alam sekitar. Dan ini juga sebenarnya merujuk kepada kata-kata Jean sendiri, “alam boleh menjaga dirinya sendiri”.
Bagaimana serangga dan burung dibiakkan di sini? Mereka membina hotel untuk serangga. Pondok mini ini dibina di sekitar ladang, dan setiap tingkat diletakkan dengan bahan berbeza-beza kerana setiap serangga perlukan bahan berbeza untuk membantu proses kehidupannya.
Jean juga sempat menunjukkan kami pokok oak yang tinggi menjulang di sini. Pokok oak itu sudah 400 tahun usianya dan tingginya mencecah 28 meter. Tapi menurut Jean, pokok oak tertua adalah di Utah, Amerika Syarikat, usianya pun sudah mencecah 250,000 tahun. Pokok-pokok besar sangat penting dalam ekosistem alam.
JENIS BUNGA CAMELIA
Di ladang camelia Jean Thoby ini terdapat 2000 jenis bunga camelia termasuklah 75 jenis bunga camelia yang hampir pupus. Antara yang berjaya dilanjutkan riwayatnya ialah Camelia japonica ‘Alba Plena’ yang mana kuntuman ini memang menuju kepupusan. Namun pada tahun 2009, Jean Thoby berjaya membiakannya dengan hasil kerjasama dengan Chanel dalam melakukan kajian. Bunga camelia berwarna putih ini menjalani proses potong dan tanam berkali-kali sebelum ia berjaya dibiakkan.
Dalam banyak-banyak bunga camelia yang ditanam di sini, Camelia japonica ‘Mathotiana Alba Plena’ yang banyak digunakan dalam produk kecantikan Chanel, khususnya himpunan Hydra Beauty. Dalam setahun lebih kurang 900 kilogram kuntuman bunga ini dipetik untuk digunakan sebagai bahan dalam ramuan cantiknya.
Memetik bunga camelia juga ada tertib dan caranya yang tersendiri. Tidak boleh dipetik begitu saja, ada seninya. Ia perlu dipulas dengan membuat pusingan dengan lembut.
Oh ya, kalau ada yang tak tahu (saya sendiri pun baru tahu), bunga camelia tidak mempunyai bau ya. Nantikan coretan kembara saya bersama Chanel di Gaujacq di bahagian yang kedua.
BACA: Chanel Perkenal Dua Lagi Produk Menerusi N°1 De Chanel