“Selamat datang ke keluarga M·A·C, Chappell, anda benar-benar artis kegemaran semua orang.” — Nicola Formichetti
M·A·C Cosmetics baru-baru ini mengumumkan artis pemenang Grammy, Chappell Roan sebagai duta jenama terbarunya. Selepas Chappell tampil menggunakan produk M·A·C dalam beberapa acara termasuk Grammy dan VMA, kerjasama jangka panjang ini menandakan keserasian mereka dalam semangat seni yang berani dan ekspresi diri.
“Bekerjasama dengan M·A·C terasa seperti lengkap bulatnya. Jenama ini sentiasa memberi ruang kepada orang seperti saya, sejak hari pertama, mereka merayakan seni, komuniti queer, drag, dan ekspresi diri,” kata Chappell dalam satu kenyataan media. Bagi Nicola Formichetti, pengarah kreatif M·A·C yang baru dilantik, komitmen Roan terhadap suara LGBTQIA+ menjadikannya pilihan tepat sebagai duta M·A·C. “Chappell mewakili generasi yang menghargai keaslian, kegembiraan queer, dan ekspresi diri tanpa rasa takut, yang selari sepenuhnya dengan misi M·A·C: untuk semua usia, semua kaum, semua jantina,” kongsi Formichetti.
Dalam kempen M·A·C pertamanya, Chappell mengenakan solekan bertema filem noir yang dihasilkan oleh Andrew Dahling. Dengan inspirasi estetika ketenteraan era 1930-an dan glamor dramatik yang menjadi tanda pengenalnya, Dahling menyifatkan penampilan itu sebagai “interpretasi moden terhadap androginia yang kuat, grafik, dan jelas mencerminkan dirinya.” Selain asas putih yang menjadi identitinya, jurusolek itu menyiapkan penampilan kempen dengan alis nipis seperti pensil, eyeshadow nada sejuk, dan bulu mata berkilau tebal.
