Sheng Saw tersangatlah sinonim dengan dunia solekan tanah air. Jemari emasnya sudah mencantikkan ratusan wajah ternama, baik dalam mahupun luar negara. Dia pernah menimba pengalaman sebagai jurusolek bukan sahaja di Malaysia malah di United Kingdom. Sudah lebih dua dekad lelahnya bergelumang dalam dunia solekan. VV Chan pula sangat lazim dengan nama-nama pempengaruh masa kini, dia juga memiliki salonnya sendiri.
Galaksi menjadi inspirasi yang menghidupkan karya solekan serta dandanan Sheng Saw dan VV Chan. Kulit Batrisyia yang hitam manis menjadi kanvas paling tepat untuk konsep ini, kontras lingkaran rambut rona neon sungguh menjadi lantas menghidupkan idea galaksi yang ditetapkan. Ikuti temubual EH! bersama Sheng Saw dan VV Chan.
VV Chan
Tiga perkataan yang mendefinisi stail dandanan kamu?
Street style, young and F.U.N!
Apakah identiti dandanan kamu?
Saya tidak membataskan dandanan saya pada satu-satu gaya tertentu semata kerana bagi saya setiap orang ada keunikannya tersendiri. Seperti bunga dan daun, tiap satunya punya perbezaan dari segi bentuk dan rupanya. Saya tak mahu terlalu mengikut sesuatu yang popular, dan setiap dandanan saya haruslah sepadan dengan keunikan seseorang itu.
Apakah tiga produk atau item yang selalu ada di dalam kit kerja kamu?
Peranti pelurus rambut, barang-barang dandanan seperti penyembur rambut dan juga hair extensions.
Siapakah selebriti yang kamu fikir ada gaya dandanan yang menarik?
Pada pendapat saya Lady Gaga antara selebriti yang punya gaya rambut yang ikonik. Dia penuh dengan kejutan.
Apakah trend dandanan kesukaan kamu?
Pilihan stail rambut bukanlah one-time thing. Ia seharusnya diubah dan digubah secara berterusan menurut mood semasa dan ekspetasi masa depan.
Bagaimana pula yang tak berapa disukai?
Saya tak berapa suka gaya rambut K-Pop sebenarnya.
Biasanya dari mana kamu mendapat inspirasi?
Idea saya banyak dikumpul bila saya pergi bercuti dan juga inspirasi dari akaun media sosial luar negara.
Bagaimana kamu meraikan small wins?
Berkongsi kegembiraan di media sosial serta keluarga dan teman rapat.
Apakah konsep atau mesej yang mahu disampaikan menerusi dandanan kamu untuk penggambaran ini?
Galaksi.
Ucapan istimewa sempena ulang tahun EH! ke-25?
Selamat ulang tahun ke-25 EH!, keep going!
SHENG SAW
Tiga perkataan mendefinisi stail solekan kamu?
Bergelar jurusolek lebih 20 tahun membuatkan saya sedar bahawa no style is the style. Dari sudut seni apabila tiada stail tertentu membuka ruang yang lebih luas untuk saya berkarya dan merealisasikan tema solekan yang ditetapkan atau apa saja yang klien mahukan.
Apakah identiti solekan kamu?
Ada yang kata mata, ada juga yang kata bibir tetapi saya terbuka pada semua. Bagi saya #nocolornolife
Apakah tiga produk atau item yang selalu ada di dalam beg mekap?
Berus solekan, kesemua palet Pat Mcgrath Mothership dan juga krim tabir suria.
Siapa kanvas kesukaan kamu dan mengapa?
Sesiapa sahaja yang duduk di kerusi solek saya adalah kanvas kesukaan saya. You know who you are.
Apakah trend solekan kesukaan kamu?
Trend berubah seperti lampin pakai buang, bermusim. Jadi apa yang boleh saya katakan saya perlu ikuti peredaran trend fesyen semasa menerusi pembacaan dan pemerhatian.
Trend solekan yang kurang digemari?
Seperti yang saya sebutkan tadi, sebagai jurusolek tiada apa yang saya tak suka, saya suka semua trend solekan.
Dari mana selalunya inspirasi kamu datang?
Apa saja dan dari mana-mana saja. Dari objek yang bergerak serta momen semasa. Ilham boleh datang dari bermacam-macam sumber.
Bagaimana kamu meraikan small wins?
Bermanja dengan kucing dan anjing saya. Dan semestinya makan!
Apakah mesej atau konsep yang disampaikan menerusi solekan yang kamu ciptakan untuk EH!
Tema galaksi ini adalah idea VV Chan. Apa yang saya hasilkan adalah untuk menyempurnakan inspirasinya. Saya menggunakan alat solek dengan kemasan galaksi dan metalik.
Ucapan istimewa sempena ulang tahun EH! ke-25?
Happy Birthday! Love you more and more. Especially to Bids, you’re making EH! so well. Syabas untuk semua keluarga di EH! Love!
Tonton video bicara singkat bersama Sheng Saw, VV Chan dan Batrisyia di bawah:
BACA: EH! Beauty Council, Interviu Bersama Cody Chua dan Syed Faizal