Dior J’adore Eau de Parfum kami letakkan sebagai Haruman Berinovasi Pilihan untuk EH! Best of Beauty 2025. Mengapa? Kerana minyak wangi ikonik ini terus segar dan hidup biar usianya melangkau dua dekad, baunya kekal sama namun diolah dengan pelbagai varian agar seiring dengan arus semasa tanpa memudarkan identiti sebenar.
Saya tertarik dengan kata-kata Francis Kurkdjian, pengarah haruman Dior tentang J’adore, “kita biasa mengatakan J’adore adalah aroma sebuah jambangan bunga. Bagi saya J’adore itu sendiri adalah sejenis bunga, yang ideal, bunga nan indah bagaikan mimpi.”. Bagi saya kenyataannya itu ada benarnya kerana bau haruman J’adore memang kental sifat floranya, dan lagi satu baunya itu sangat signifikan. Sekilas sudah dapat ditebak baunya.
Usia haruman ikonik Dior ini sudah melampaui 25 tahun, aromanya mendefinisi sebuah ahruman elegan dengan cukup sempurna. Semerbaknya bau J’adore terdiri dari nota pelbagai kuntuman bunga seperti violet, bunga mawar, lily of the valley, melati, champak dan orkid.
Haruman ini terhasil daripada dua tangan pakar haruman, iaitu Calice Becker, (warga Perancis yang bermastautin di kota New York) bersama Ann Gottlieb (seorang konsultan minyak wangi terkenal) pada tahun 1999. Tidak cukup dengan bunga-bungaan semata, baunya dipercikkan dengan nota berunsur bau buah, kesegaran nota-nota hijau serta sentuhan bauan kayu seperti velvet accord. J’adore ditakrifkan sebagai sebuah jambangan flora yang sempurna, sebuah dedikasi untuk wanita.
Mengimbas kembali detik awal penghasilan haruman kebanggaan Dior ini, Becker berkata dia terinspirasi daripada lukisan kurun ke-17 yang dipamerkan di Hermitage Museum, Saint Petersburg. Lukisan jambangan bunga itu menggabungkan bermacam jenis bunga yang hidup mekar berbeza musim. Bagi Becker itu satu inspirasi yang nyatanya tidak terjadi dalam kehidupan sebenar. Dari situ dia mula mencari ilham dan berkarya hingga lahirnya J’adore.
BOTOL IKONIK
Tidaklah keterlaluan andai dikatakan keagungan minyak wangi ini bukan terletak pada baunya semata, botolnya juga adalah penarik utama, amatlah ikonik. Kelalangnya berlekuk dengan ‘leher’ botolnya itu bagai berhias rantai emas yang mana diceduk inspirasinya daripada rantai leher yang dicipta John Galliano untuk koleksi adi busana Dior pada tahun 1997. Penutupnya tampil bagaikan tombol bulat dalam kemasan kristal jernih. Hervé Van der Straeten adalah individu kreatif yang bertanggungjawab mencipta botol ini.
Hari ini haruman ini diwakili oleh jurucakapnya, Rihanna. Pemilihan bintang pop ini dilihat seiring dengan statusnya sebagai antara bintang paling dikenali seluruh dunia, setanding dengan kedudukan J’adore sebagai salah satu haruman ikonik dunia.
Sejak pelancarannya, J’adore Eau de Parfum kini dilengkapi dengan varian berbeza termasuklah J’adore l’Or yang lebih pekat dan mewah baunya, serta J’adore Parfum d’eau yang menjadi haruman Dior pertama bebas alkohol. Melihatkan variasi J’adore, boleh disimpulkan haruman ini akan terus diraikan bukan sahaja kerana bau harumnya yang tersendiri, tetapi kerana sentuhan inovasi yang terus bergerak seiring putaran masa dan dalam masa yang sama mengekalkan prestijnya.
J’adore Eau de Parfum hadir dalam empat saiz, dan harganya bermula dari RM415 (30ml), RM595 (50ml), RM840 (100ml) dan RM1,080 (150ml). Untuk pembelian secara dalam talian boleh klik laman sesawang Dior.
BACA: Kempen Dior J’adore Yang Baharu, So French, So Rihanna