Tanggal 22 April 2025 menjadi hari yang cukup bermakna buat dunia kecantikan tempatan apabila House of W di The Exchange TRX diserikan dengan kehadiran 26 pembaca bertuah EH! dalam satu acara eksklusif yang memfokuskan kepada pengalaman kecantikan, kolaborasi bersama EH! dan jenama kecantikan, Wardah
Acara dimulakan dengan sesi ramah mesra yang berlangsung dalam ruang pop-up interaktif House of W, sebuah inisiatif khas daripada Wardah untuk meraikan keunikan dan kekuatan wanita masa kini. Dihiasi dengan dekorasi elegan, suasana acara memperlihatkan sisi sofistikated Wardah yang selari dengan misi kecantikannya.
Tetamu juga dapat menikmati pengalaman gaya hidup melalui W Café, pop-up café eksklusif oleh Wardah yang menawarkan pilihan pastri dan minuman yang boleh dibeli sepanjang acara. Sambil menjamu selera, para tetamu juga diberi peluang menjelajahi sudut interaktif yang mempamerkan produk-produk ikonik Wardah. Ini termasuk stesen kecantikan untuk mencuba produk, ruangan foto berlatarkan konsep visual Wardah yang estetik, serta sesi membeli-belah yang memberi pengalaman 360 darjah kepada tetamu yang hadir.
Kemuncak acara sudah tentu sesi bengkel bersama Umi Nasir, jurusolek selebriti yang tidak asing lagi dalam dunia glamor tanah air. Dalam bengkel berdurasi dua jam, Umi membimbing peserta dengan teknik solekan asas sehingga ke gaya profesional yang boleh diaplikasikan untuk pelbagai majlis dan keperluan. Antara produk yang digunakan termasuklah Wardah Glow Cushion, Glasting Liquid Lip, dan Colorfit Cream Blush, rangkaian produk halal dan mesra kulit yang kian mendapat tempat di hati wanita moden.
Lebih istimewa, suasana intim sepanjang bengkel membolehkan interaksi dua hala yang lebih dekat antara peserta dan jurusolek. Setiap tetamu bukan sahaja dapat melihat teknik sebenar secara langsung, malah berpeluang mengaplikasikannya sendiri dengan tunjuk ajar pakar, menjadikan bengkel ini bukan sekadar sesi kecantikan, tetapi juga ruang untuk bereksperimen, bertanya, dan membina keyakinan diri.
Sebagai tanda penghargaan setiap peserta pulang dengan cenderahati eksklusif bernilai RM350. Namun lebih daripada itu, mereka turut membawa pulang kenangan manis, ilmu baru dan jaringan persahabatan dengan rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama dalam dunia solekan.
EH! merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pembaca bertuah kami dan Wardah atas kerjasama dalam menjayakan acara ini. Buat anda yang terlepas peluang menyertainya, nantikan lebih banyak acara eksklusif dan bengkel menarik bakal menyusul.
Artikel Berkaitan: Kemeriahan Bengkel Cantik Aidilfitri EH! Dan YSL Beauty