Moden, individualiti dan maskulin, tiga perkataan yang cukup mendefinisi Bleu De Chanel, sebuah haruman yang EH! takrifkan sebagai Haruman Lelaki Urban Ikonik.
Bleu De Chanel, satu nama yang bila kita dengar kita akan mengaitkannya dengan sesuatu yang eksklusif, yang urban, yang moden, yang mewah, yang misteri. Bagi penggemarnya ia bukan sekadar sebuah haruman, ia adalah sebuah imej yang menjadi cerminan kepada personaliti mereka. Menyembur haruman ini menerbitkan keyakinan sebagai seorang lelaki kota kosmopolitan.
Bleu De Chanel, antara haruman yang melengkapi barisan haruman lelaki di Chanel. Amatlah popular dan digemari pencintanya. Ia antara haruman lelaki era moden yang sangat ikonik, tidak sempurna anda membuat senarai 10 haruman lelaki popular jika tidak disertakan Bleu De Chanel.
Chanel menjadikan bau-bau kayu-kayan sebagai satu ekspresi kepada kebebasan yang dicari seorang lelaki menerusi komposisi Bleu De Chanel. Aroma woody adalah satu karakter penting dalam pembikinan haruman yang berjiwa malar segar, yang bisa menjadi satu ekspresi sempurna kepada sifat maskulin seseorang.
Kelalang bersegi biru ini dipadatkan dengan kayu cendana dari New Caledonia, sebuah kepulauan di Perancis. Baunya menusuk namun masih menyegarkan, pekat likat dan sangat signifikan. Aroma haruman klasik moden ini dihangatkan lagi dengan percikan aroma kayu sedar dan juga kacang tonka. Dan saya percaya kehadiran dua bahan ini amat penting untuk mengklasfikasikan Bleu De Chanel sebagai sebuah haruman yang malar segar sementelah dua ramuan ini sangat signifikan dalam pembikinan minyak wangi.
Bleu De Chanel adalah sebuah haruman yang diilhamkan oleh Olivier Polge, pereka haruman Chanel yang mewarisi kepakaran pembikinan haruman dari ayahnya sendiri, Jacques Polge yang juga pernah duduk di kerusi penting pembikinan haruman rumah fesyen agung Paris itu. Kata Olivier, Bleu De Chanel diramu dengan ramuan yang cukup-cukup dan sempurna untuk menjadi cerminan kepada jiwa lelaki yang mahu berbeza dengan individu lain. Seorang lelaki yang tidak bimbang andai kelemahannya terzahir pada pandangan.
Hari ini, haruman ikonik ini diwakili oleh aktor prolifik, Timothée Chalamet. Aktor yang sudah beberapa kali menerima nominasi di Academy Awards dan Golden Globes ini memenuhi karakteristik yang dicari-cari Chanel untuk mewakili suara Bleu De Chanel.
Bleu De Chanel dijelmakan dalam tiga varian, Parfum, Eau De Parfum dan Eau De Toilette, dan setiap satunya menzahirkan jiwa kelakian jejaka kosmopolitan seperti yang dicirikan oleh Chanel sendiri. Selain di butik kecantikan Chanel, anda juga boleh milikinya ini secara dalam talian di pautan INI!