Palet pembayang mata sering saja jadi kesukaan, kadang-kadang bukan kerana sukakan warnanya tapi kerana bungkusan juga susunan warnanya. Bila sudah dibeli ada juga sayang mahu dipakai.
Sejak memakai pelitup muka dijadikan satu kemestian, ramai yang mula rajin merias mata memandangkan bahagian itu sajalah yang boleh dihidupkan. Jika selamat ini gincu dijadikan penyelamat, nampaknya ramai yang beralih arah dengan memberi fokus pada bahagian mata. Ada yang melebih-lebihkan lapisan maskara, memakai bulu mata palsu, bermain dengan penggaris mata dengan gaya mata berekor (cat-eye), ada juga yang rajin bertukar-tukar warna pembayang mata.
Bagi yang mahu berjinak-jinak dengan pembayang mata atau mahu menambah koleksi, kami cadangkan empat palet pembayang mata ini. Menerusi satu palet ini berbagi gaya riasan mata boleh anda miliki, cabar sahaja kreativiti diri.
Nudestix Magnetic Eye Pencil Kit
Jika anda lebih sukakan pembayang mata dalam bentuk pensel, anda harus dapatkan yang ini. Nudestix tampil dengan 6-Piece Magnetic Eye Pencil Kit yang ditambah dengan empat warna baharu. Cipta solekan mata pelbagai mengikut kreativiti dengan terjemahan emosi gaya anda. Ia dicipta dengan formula tahan lama, ringan dan warnanya memang pekay. Paling penting ia kalir air (waterproof). Harganya RM251.
Too Faced Limited Edition Makeup Collection
Too Faced tampil dengan dua pilihan palet pembayang mata hujung tahun ini. Dinamakan sebagai ‘Los Angeles’ dan ‘Paris’ kedua-dua palet ini dibarisi pilihan pembayang mata bermacam-macam warna. Palet Los Angeles tampil ceria dengan pilihan warna yang lebih bervariasi, seiring dengan vibes kota yang sering dilatari langit membiru, penuh ceria. Palet Paris pula warnanya lebih hangat dengan warna coklat, ton tanah serta punya biasan warna kemerahan. Terdapat secara eksklusif di Sephora.
Fenty Beauty Eyeshadow Palette
Palet pembayang mata ‘dari’ Rihanna ini tampil meriah dengan pilihan tekstur dan kemasan berbeza-beza, dari yang pusam, berkilauan dan metalik. Jika bijak bermain warna, berbagai-bagi gaya solekan boleh dihasilkan. Pilihan warna yang ditawarkan juga bersifat malar segar, boleh digayakan setiap hari.
Gucci Beauty, Palette Beauté Des Yeux Floral
Palet pembayang mata pertama dari Gucci Beauty. Hadir dengan pelbagai tekstur dan kemasan seperti satin, pusam dan metalik, pembayang mata ini menyajikan 12 pilihan warna dalam satu palet. Tambah menarik bekas palet ini tampil dalam gaya vintaj, bercetak bunga-bungaan dengan latar hitam serta kemasan keemasan di kelilingnya.
Baca: Lilin Wangi, Pilihan Mengharumkan Kediaman Hujung Tahun Ini