Tahun 2013 mungkin adalah titik permulaan yang terbaik untuk anda menyerlah dengan gaya-gaya rambut yang tidak pernah lagi anda cuba. Kami ada lima stail rambut yang dijangka hangat tahun ini:
Braids
Gambar: TPGNEWS
Dijangkakan stail rambut yang bakal menjadi trend pada tahun 2013 adalah tocang. Tapi ia bukanlah ikatan tocang biasa tetapi tocang klasik yang dibawa dari sisi ke bahagian belakang yang dipanggil French Braids. Kelebihan gaya tocang ini ia boleh menambahkan lagi kelembutan wajah anda. Sesuai untuk makan malam istimewa bersama si dia ataupun aktiviti santai dengan rakan-rakan di hari minggu. Bagi yang menggemarkan gaya yang unik, fishtail braid mungkin satu trend yang harus dicuba! Gayanya edgy tetapi agak rumit untuk didandan. Lebih bagus sekiranya anda mendandannya dengan efek messy untuk tampak lebih bersahaja. Kebanyakan orang menyiapkan dandanan tocang fishtail mereka sebelum tidur supaya messy look yang diperolehi itu dilihat lebih natural. Dan bagi yang berambut panjang, anda juga boleh mencuba trend waterfall braid untuk gaya yang lebih anggun apabila dipadankan dengan gaun musim panas atau gaun maksi.
Glamor Hollywood
Gambar: TPGNEWS
Bila bercakap mengenai trend rambut Old Hollywood Glamour, mesti anda terbayangkan wajah bintang Hollywood zaman 50-an, Marilyn Monroe. Trend yang dahulunya membawa dandanan rambut kerinting kejang yang melekat dengan kepala digayakan dengan lebih relaks di tahun 2013. Untuk menambahkan lagi efek Marilyn Monroe di dalam gaya anda, pastikan anda hembus kering rambut dengan betul sehingga dapat volum yang dimahukan. Ia sering digayakan oleh bintang-bintang Hollywood di permaidani merah. Lagi satu gaya rambut yang elegan dan tidak lapuk dek zaman adalah Classic Chignon. Padankan ia dengan labuci labuh yang anda beli khas untuk majlis makan malam pejabat anda atau majlis perkahwinan rakan di hotel mewah. Semua mata pasti tertumpu kepada anda!
Ikatan Ciut Labuh
Gambar: TPGNEWS
Ini mungkin merupakan stail yang paling ringkas tetapi menarik buat anda yang mungkin tiada masa untuk berdandan. Himpunkan saja rambut anda ke bawah dan ikatkan saja. Untuk kelihatan lebih kasual, tinggalkan sedikit rambut depan dan tepi untuk menampakkan sedikit gaya messy. Lebih manis sekiranya anda membawa rambut yang telah diikat itu ke bahagian depan bahu. Stail ini sangat versatil. Ia juga sesuai untuk gaya formal untuk ke pejabat atau gaya bersahaja ketika bersantai di hujung minggu. Untuk janji temu bersama kekasih tersayang, keritingkan sedikit di bahagian hujung rambut untuk tampak lebih romantik, manja dan seksi. Mungkin 2013 adalah tahun untuk anda tampil lebih ringkas tetapi tetap anggun.
Bangs
Gambar: TPGNEWS
Jangan pandang rendah dengan kuasa rambut depan. Ia mampu merubah gaya dan rupa anda sekali gus. Dengan adanya jambul di depan, potongan rambut akan tampak lebih chic dan edgy. Kepada yang berdahi luas, inilah caranya untuk anda menyembunyikan kekurangan wajah. Namun, pertimbangkan juga bentuk muka anda kerana ada yang merasakan bangs tidak sesuai dengan semua bentuk muka. Ia salah sama sekali. Sememangnya, orang yang mempunyai muka yang berbentuk petak, hati dan bujur, tiada masalah untuk mengayakannya. Tetapi bagi yang bermuka panjang dan bulat, panjangkan sedikit bangs anda sehingga menyentuh kening. Atau hembus kering untuk mendapatkan volum pada rambut depan anda. Jangan risau, you can carry that bangs tidak kira apa jua bentuk muka anda.
Pixie
Gambar: TPGNEWS
Salah satu cara untuk lebih menyerlah di antara rakan-rakan yang berambut panjang adalah dengan memotong pendek rambut anda. Rambut pendek sebenarnya sesuai untuk semua bentuk muka tetapi yang merosakkannya adalah gaya potongan yang salah. Potongan pixie bakal menyerlahkan lagi wajah, menonjolkan wajah yang lebih edgy. Jangan risau, anda tidak akan kelihatan seperti budak lelaki sekiranya anda pandai menggayakannya. Pin kan rambut anda di bahagian tepi untuk kelihatan lebih lembut. Atau padankan potongan pixie dengan simpai (cekak rambut) untuk tampak lebih comel. Pixie dijangka menjadi trend hangat untuk 2013 kerana sudah mula digayakan di pertunjukan fesyen antarabangsa termasuk pertunjukan fesyen Dior baru-baru ini.
WARNA RAMBUT TERHANGAT 2013 >>
RAMBUT GUGUR PENGHALANG GAYA >>