Bercanda di taman di bawah simbahan cahaya terik mentari dan ditemani deruan angin laut, Lily-Rose Depp beraksi manja untuk kempen terbaru Chanel.
Anak kepada aktor legenda, Johnny Depp, Lily-Rose Depp terus menjadi bintang kesukaan Chanel untuk rangkaian alat solek terbarunya. Sebelum ini sudah beberapa koleksi rumah fesyen Paris ini menggunakan gadis genit ini sebagai wajah rasminya.
Koleksi musim bunga/panas 2022 Chanel mencedok ilham keindahan suasana La Pausa, iaitu vila luar kota milik Gabrielle Chanel. Ketika dia masih hidup, Gabrielle Chanel seringkali meluangkan masa di vila ini untuk menenangkan diri dan mengisi waktu senggang. Jauh dari hiruk-pikuk kota, vila ini memberi 1001 ketenangan buatnya.
Cahaya matahari keemasan yang memancar sekitar vila ini menjadi tunjang kepada ilham koleksi ini. Kerdipan emas dapat dilihat pada alat riasan mata dan juga pipi. Jika dilihat pada foto-foto kempen ini, Lily Rose Depp disolekan dengan riasan keemasan pada mata, buah pipinya memancar bagai dicium mentari, biasan ton koral menghidupkan wajahnya.
4 ITEM PILIHAN EH!
LES 4 OMBRES – MÉDITERRANÉEN
Pembayang mata empat warna ini menggabungkan elemen mewah namun masih tampak kasual. Empat ton dalam nada keemasan boleh digunakan kesemuanya dalam satu masa atau boleh dipilih-pilih mengikut mood. JTon ‘Brown Khaki’ satu warna yang versatil di dalam palet ini.
OMBRE PREMIÈRE LAQUE
Pembayang mata warna emas dalam tekstur cecair ini sangat mudah dioles pada kelopak mata. Mahu calit terus dari berus yang disediakan atau guna sahaja jari untuk aplikasi yang lebih mudah dikawal. Cara penggunaannya juga pelbagai, boleh disapu terus pada kelopak mata atau boleh juga dijadikan sebagai ‘salutan’ pada pembayang mata.
BAUME ESSENTIEL- ENSOLEILLE
Stik yang pelbagai guna. Selain dijadikan sebagai penaik seri pada tulang pipi, boleh juga dijadikan sebagai asas pembayang mata, kerana ton koral berkemilauannya mencipta efek solekan ‘sun-kissed’ yang bersahaja. Saya sarankan anda oles gunakan jari.
BLUSH LUMIÈRE- BRUN ROUSSI
Bagikan jatuh cinta pandang pertama saat terlihatkan pemerah pipi ini. Warnanya bukanlah selalu kita jumpa. Saya yakin jika dilayangkan pada kulit sawo matang, pemerah pipi ini memang ‘hidup’. Jika mahu dijadikan sebagai kontur, layangkan pada bawah tulang pipi, tapi usah keterlaluan kerana ia punya partikel mikro berkilauan bagaikan ‘bronzer’.
Kesemua item ini sudah berada di butik kecantikan Chanel dan juga di dalam talian, klik di SINI!