Bukan mahu exaggerate, tapi Grand Numero De Chanel adalah pameran haruman terbaik yang pernah saya kunjungi. Dua jam yang tidak mencukupi namun masih membekas di hati.
Suhu Paris pagi itu melepasi paras negatif. Dari dalam kereta, dari Hotel Scribe menuju ke Grand Palais dapat saya lihat saki baki salji masih bersisa sepanjang perjalanan. Saya menyarung dua lapis ‘thermal’ sebagai persiapan untuk mengharung suhu dingin kota fesyen ini yang datang lebih awal dari selalu. Saya, sebagai wakil tunggal media Malaysia yang dijemput Chanel untuk ke acara mega ini terbang ke Paris bersama Asma Nasa dan Bay Doucet, dua pempengaruh kecantikan yang sangat dikenali dan kami bertiga ditemani Claudia, orang kuat Chanel Malaysia.
Sehari sebelum ke acara eksklusif ini, Claudia awal-awal sudah memberi bayangan tentang susun atur ruang pameran. Kata Claudia, semuanya dipersembahkan dengan karakter berbeza, dan Claudia juga sempat berpesan ada bahagian yang hanya boleh ditatap tanpa mengabadikannya menerusi lensa kamera. Saya ingin membawa kalian mengikuti langkah-langkah saya di sana, mungkin tak sama dengan melihat dengan empat mata sendiri tapi harapnya anda dapat berimaginasi ‘vibes’ Paris dalam penceritaan ini.
Room 1, Chanel No. 5
Sebagai haruman paling ikonik di Chanel, pastinya kasih sayang dan perhatian kepada Chanel No. 5 ini melebihi dari mana-mana wangian yang lain. Tambahan pula sebagai haruman sulung Chanel, semestinya minyak wangi yang direka oleh Ernest Beaux ini punya sejarah yang berjela-jela. ‘Ruang legarnya’ dipecahkan kepada beberapa pintu yang menghubungkan kami dengan bilik-bilik kecil yang tampil dengan pelbagai ‘cerita’.
Antara yang menarik saat saya ke sini ialah saya dapat mencuba sendiri inti pati asal Chanel No 5. Tak saya sangka saya akan menimba pengalaman ini. Baunya bagaimana? Sama seperti yang anda hidu hari ini tapi mungkin sedikit lembut, masih sedap baunya.
Di satu sudut pula botol-botol haruman ini disusun secara rawak, dan di latarri dengan skrin besar menayangkan video kempen yang dibintangi oleh aktres Perancis, Marion Cotillard. Di sisi bilik itu pula bergantungan potret kempen Chanel No. 5 dari sejak ia diperkenalkan. Antara poster dipamerkan ialah Marilyn Monroe, Suzy Parker, Catherine Deneuve, Nicole Kidman dan Gisele Bündchen.
Di sudut yang lain pula saya lihat Bay Doucet dan Asma Nasa sedang larut menghidu bau-bau bunga mawar dan melati yang disalurkan keluar dari corong-corong istimewa. Saya sendiri menghirup baunya, memang menyamankan. Memang segar dan bagaikan Chanel membawakan taman-taman bunga dari Grasse ke Paris.