Room 5, Coco Mademoiselle
Seni interior bilik ini sangat menangkap mata dan hati. Entahlah, saya rasa Chanel bijak menyusun atur bilik-bilik di pameran ini. Selepas membuat mata terpukau dengan Chanel No. 5, saya fikir mereka mahu menutup pameran ini dengan ruang yang akan membuatkan pengunjung teringat-ingat bila pulang.
Coco Mademoiselle, haruman wanita moden dari Chanel, masih berpaksikan pada elemen klasik namun mereka memodenkannya seiring gaya hidup wanita masa kini. Berbeza dengan Chanel No. 5 yang menonjolkan imejw anita elegan dan anggun, Coco Mademoiselle mahu menjentik wanita untuk berani, ambil risiko dan percaya pada diri. Lihat sahaja video kempen haruman ini yang dulu-dulu, semuanya menonjolkan imej wanita yang edgy, berani dan dalam masa yang sama masih kekal elegan. Keira Knightley adalah bintang yang paling sinonim dengan kempen Coco Mademoiselle.
Mengapa saya kata bilik ini akan buat anda teringat-ingat (at least for me), kerana susun aturnya seksi dan edgy. Saat kaki melangkah masuk, dinding sisinya dilatari dengan grafiti. Kemudian anda akan disambut dengan catur gergasi, dan setiap buah catur ini ada penariknya, ada yang dilengkapi monitor (menayangkan video-video misteri), dan ada juga yang sensor yang menilik tangan.
Di satu ruang lagi pula akan menayangkan arkib pakaian dan prop yang pernah digunakan untuk kempen Coco Mademoiselle. Inilah yang saya katakan penarik kepada bilik ini. Prop ini disimpan rapi biarpun sudah makan tahun digunakan. Melihatkan kempen-kempen Coco Mademoiselle membuatkan saya terfikir, cepatnya masa berlalu. Ada kempennya sewaktu saya baru sahaja melangkah masuk ke universiti, kemudian ada pula yang tular sewaktu saya mula bekerja dan sampailah sudah menjadi editor. Kembara haruman ciptaan Jacques Polge yang mula dilancarkan pada tahun 2001 ini memang punya cerita yang membuat saya begitu dekat.