Room 4, Les Exclusifs de Chanel
Gelapd an kelam! Bilik ini menafsirkan imej Les Exclusifs de Chanel yang sangat eksklusif dan mewah. Haruman di sini sendiri sangat tersendiri, setiap satunya didominasi bau berbeza dan masing-masing punya mesej dan cerita. Dari jauh sudah terlihat interior gah di kaunter belakang, yang menangkap mata pastinya patung singa yang terletak tinggi di rak belakang (singa sangat sinonim dengan Chanel memandangkan Coco Chanel berbintang Leo).
Sebelum kaki sampai ke kaunter belakang, ada beberapa ‘pakar’ menanti dan anda diminta duduk (ada juga yang memilih untuk berbaring). Pakar ini akan bertanyakan anda beberapa soalan berbentuk objektif, dan setiap pilihan jawapan anda itu akan menemukan haruman yang paling berpadanan dengan personaliti diri anda. Ada yang kena, ada yang mungkin berbeza sedikit dari yang anda suka. Tapi itulah, kadang-kadang apa yang sesuai dengan kita bukanlah apa yang kita suka. Namun dalam dunia haruman, personaliti dan cita rasa setiap orang berbeza.
Jika ditanyakan pada saya, haruman yang saya suka dari Les Exclusifs de Chanel ialah BOY. Haruman ini sebenarnya saya terima sewaktu ke trip bersama Chanel beberapa tahun dulu, dan sampai sekarang saya sudah melekat dengan haruman ini. Anda boleh ke butik kecantikan Chanel dan cuba sendiri varian yang ada kerana setiap satunya punya personaliti aroma yang sangat bold.