Saya kembali ke Tokyo buat kali kedua tahun ini. Dan kali ini saya berpergian atas layangan undangan Dior yang mahu membawa saya untuk menjadi antara yang terawal melihat sendiri pameran istimewa haruman ikonik sepanjang zaman, Miss Dior. Dinamakan sebagai Miss Dior Exhibition Stories of a Miss, pameran ini dijadualkan berakhir pada 15 Julai 2024.
Tambah istimewa dan semestinya eksklusif, kunjungan saya kali ini menemukan saya dengan Natalie Portman yang mana pemeran watak utama filem-filem ikonik seperti ‘The Black Swan’, ‘May December’ dan ‘Jackie’ ini adalah wajah rasmi Miss Dior lebih sedekad. Dan ini juga menandakan kali kedua saya bertemu dan menemubualnya. Pertama kali dulu (2013) di Tokyo serta atas undangan Dior juga, yang berbeza produknya saja, Rouge Dior.
SIGNIFIKAN MISS DIOR
Miss Dior amatlah penting dalam lipatan sejarah Christian Dior. Rumah fesyen itu pada awalnya masyhur dengan rekaan adi busana buat wanita-wanita bangsawan dan kaya-raya di Perancis. Selepas beberapa tahun menjadi sanjungan penggemarnya, Christian Dior mendapat buah fikir untuk melancarkan haruman pertamanya. Baginya, minyak wangi adalah penyempurna kepada penggayaan busananya.
Maka pada tahun 1947 lahirlah Miss Dior. Mr. Christian Dior mendedikasikan haruman ini buat adiknya, Catherine Dior. Padanya, Miss Dior adalah satu penghargaan atas semangat dan kesungguhan Catherine Dior yang banyak menzahirkan perjuangannya menentang Jerman sewaktu Perang Dunia Kedua. Dan atas kerana itu juga Christian Dior meneroka idea dalam membikin sebuah haruman yang bisa menjadi gambaran sebuah semangat waja seorang wanita.
PAMERAN MEGA MISS DIOR
Rabu, 12 Jun adalah hari yang dinanti. Jam 4.30 petang, saya serta Nicole (Pegawai perhubungan awam Dior Beauty Malaysia) bersama Christinna Kuan berkumpul di lobi Grand Hyatt Tokyo sebelum bergerak terus ke Roppongi Museum. Perjalanan ke sana tak lama, lebih kurang 10 minit sahaja. Tiba di sana kelihatan ramai pengamal media sudah berkumpul. Jurugambar juga sudah mengambil tempat masing-masing biarpun dua bintang undangan acara ini, Natalie Portman dan Jisoo (Blackpink) hanya akan muncul jam 7.30 malam.
Dalam menunggu kehadiran para selebriti (termasuk Natalie dan Jisoo), kami dibawa menerokai tiap ruang di pameran istimewa ini. Ruang pameran muzium yang berlokasikan di daerah elit di Tokyo ini menempatkan pelbagai item dan bahan penting kembara Miss Dior dari awal diperkenalkan hinggalah ke hari ini.
Saat melangkah ke ruang pertama, terpampang nama Miss Dior (dalam visual bercahaya) dengan latar merah jambu. Di sisi namanya itu ruang latar dinding diperaga dengan paparan momen penting lagi bersejarah Miss Dior dari dulu hingga sekarang.
Membuka beberapa langkah ke ruang sebelah, mata tertumpu pada kotak cantik berisi kelalang Miss Dior yang dipamerkan dalam bekas kaca. Bagasi mini yang menyerupai beg vaniti itu direka oleh Eva Jospin dan hanya ada beberapa unit saja di seluruh dunia. Di Malaysia ada satu saja, dan dijual pada harga RM65 ribu.
Di satu ruang lagi (bilik ini direka memanjang) gaya interiornya bagaikan reben mengelilingi ruang. Ya, reben amatlah signifikan dalam visual dan fizikal Miss Dior. Lihat saja reben yang menghiasi penutupnya, malah reben juga sebenarnya antara perincian penting dalam tiap himpunan busana Dior sejak dulu lagi.
Di ruang ini saya berpeluang melihat botol Miss Dior yang pertama dan sebahagiannya dilengkapi dengan dekorasi paparan tetingkap (window display) yang asal. Mengamati satu-satu bahan pamer di sini bagaikan membawa kita meneroka revolusi Miss Dior dari dekad demi dekad.
Antara bahan lain yang menambat minat saya ialah mesin taip milik Catherine Dior. Mesin taip jenama Hermes itu digunakan Catherine untuk menaip surat-surat sebagai wakil suara perjuangannya sewaktu Perang Dunia Kedua.
BUSANA MISS DIOR
Sebelum melangkah ke ruang seterusnya, dari jauh lagi saya sudah nampak gaun berwarna putih krim kekuningan berhias kelopak-kelopak bunga berdiri gah di tengah-tengah ruang. Bagaikan ada magnet yang menarik saya untuk cepat-cepat ke sana. Memang tak salah bila mata ini terpegun memandang kerana itulah gaun Miss Dior yang direka oleh Christian Dior dua tahun selepas pelancaran haruman ini (1949). Gaun ini khabarnya pertama kali diterbangkan keluar dari Paris.
Dres ini dipamerkan di sensory room, yang mana bilik ini membawa pengunjung menikmati keasyikan aroma bunga-bungaan yang menjadi bahan ramu utama Miss Dior. Bila dipijak saja butang di lantai, aroma bunga-bunga ini terapung-apung mengisi ruang udara. Jasmin, Jasmin Sambac, Tuberose dan Mawar antara yang merangsang deria bau saat aromanya berpercikan.
Di satu ruang lagi pengunjung bagaikan dibawa melangkah ke era ‘mode 60-an’ bila mana patung-patung berbusana Dior dikumpulkan di tengah-tengah ruang. Bukan sekadar himpunan biasa, tetapi patung ini dipakaikan helaian sedia pakai pertama (RTW) Miss Dior. Jika diamati ada sebahagiannya punyai cetakan ‘Miss Dior’ pada fabriknya. So retro, so chic!
Ini antara ruang kegemaran saya sementelah saya memang penggemar seni lukis. Di sudut ini dipamerkan lakaran kempen-kempen awal dan busana berelemen Miss Dior (reben sebagai contoh) dari dulu sampailah ke era baru (Raf Simons misalnya).
Dior menyajikan intepretasi dua pelukis legenda iaitu René Gruau, maestro seni lakaran kelahiran Rimini, Itali dan Mats Gustafson, artis agung dari Sweden. Gustafson memang masyhur dengan lakaran dan ilustrasi fesyen dan dia sendiri sudah menerbitkan banyak buku termasuklah ‘Dior by Mats Gustafson’.
6 BUSANA NATALIE PORTMAN
Kemuncak kembara di Miss Dior Exhibition, Stories of a Miss adalah enam busana yang pernah digayakan Natalie Portman sepanjang siri kempen yang pernah dijayakannya. Dari busana ilham Raf Simons hinggalah yang terbaru yang berwarna hitam dengan perincian bunga-bunga kecil penuh warna oleh Maria Grazia, saya percaya tiap pengunjung akan meluang masa lebih lama di sini untuk mengamati tiap perincian gaun yang dipamerkan.
Jika ditanya dalam enam-enam ini yang mana paling saya suka, bulat hati saya memilih gaun yang direka oleh Raf Simons yang juga gaun terawal digayakan Natalie Portman untuk Miss Dior. Gaun midi kembang dengan taburan bebunga kecil dalam warna putih krim dan lilac itu adalah dari himpunan Dior Couture musim luruh/dingin 2012.
Apa yang boleh saya simpulkan dari kunjungan ke pameran ini? Ia mengajar saya tentang sekecil-kecil idea ia boleh menjadi besar jika digarap dan dikerjakan dengan sepenuh hati. Siapa sangka hanya kerana mahu menghasilkan haruman sebagai pelengkap busana, jalan cerita Miss Dior boleh menjadi panjang berjela-jela sampai ke hari ini. Dan ini semua juga hasil usaha yang terbit dari rasa cinta kepada sesuatu yang kita usahakan. Mr. Christian Dior melahirkan haruman ini sebagai satu dedikasi kasih sayang buat adiknya. Cinta memungkinkan apa-apa yang kita fikir mustahil. And you, what would you do for love?
BACA: Interviu Bersama Peter Philips, Meraikan Koleksi Baru Diorshow