Gambar: austockphoto.com.au
Muzik memainkan peranan besar dalam kehidupan kita dan boleh dikatakan semua orang mendengarnya setiap hari. Tidak kira pilihan genre muzik anda mahupun platform kegemaran, ramai yang akui bahawa mereka tidak boleh hidup tanpa muzik. Selain mengubah mood kita, muzik juga mempunyai beberapa kelebihan:
MUZIK MENGURANGKAN TEKANAN
Mendengar muzik membuatkan anda menjadi lebih gembira. Secara automatiknya saluran darah anda akan berkembang dan meningkatkan peredaran darah serta kesihatan kardiovaskular. Kajian mendapati 1,400 pesakit jantung yang mendengar muzik mendapati kadar denyutan jantung, tekanan darah serta kebimbangan berkurangan. Muzik dengan tempo perlahan dan lagu instrumental juga dapat mengubah mood terutamanya pabila individu terlalu tertekan atau sakit.
BERMAIN ALATAN MUZIK MENAJAMKAN MINDA
Kajian Journal of Neuroscience mendapati orang dewasa pertengahan usia dan senior yang banyak meluangkan masa bermain alat muzik ketika muda, memiliki minda yang mampu menangkap bunyi lebih pantas berbanding individu lain. Malah, muzik juga membantu individu untuk mempelajari dan mengingat kembali informasi dengan lebih efi syien. Ada juga kajian yang mendapati kanak-kanak yang mempelajari muzik sejak kecil mempunyai IQ lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang terlibat dengan aktiviti lain.
MEMBANTU MEMULIH INSOMANIA
Mendengar muzik sebelum tidur membantu anda untuk tidur dengan lebih pantas, kurangkan rasa berjaga pada waktu malam dan membuatkan anda rasa sudah cukup rehat pada waktu pagi, menurut National Sleep Foundation. Ada juga kajian yang mendapati mereka yang mendengar muzik klasik atau menenangkan sejam sebelum tidur mampu memulihkan insomnia berbanding mereka yang mendengar buku audio atau tidak membuat apa-apa sebelum tidur.
KERJA MENJADI LEBIH PANTAS
Mereka yang mendengar muzik di pejabat mampu menyiapkan tugas dengan lebih pantas terutamanya pabila melakukan tugas seperti menyemak e-mel atau mengisi dokumen. Cornell University turut mendapati muzik rancak mampu memberi motivasi kepada pekerja untuk bekerjasama dengan lebih baik dan membuat keputusan secara berkumpulan dengan lebih positif.