Oleh : Farhana Fuad
Gambar : shutterstock
Akhirnya, Ramadan semakin hampir ke penghujungnya dan pastinya semua orang tidak sabar untuk menyambut Syawal yang dinanti untuk berhari raya.
Semestinya pada waktu ini semua orang sedang sibuk melakukan persiapan untuk merai ketibaan lebaran. Boleh kata tidak sah jika tidak membeli baju baru, tas tangan baru, semuanya baru. Ada yang sehinggakan kereta baru dan rumah pun berdekorasi serta berperabot baru.
Peruntukan untuk berhari raya selalunya agak besar apabila membeli barangan baru, tidak lupa pula apabila perlu menyediakan duit raya bagi mereka yang sudah bekerja untuk diberikan kepada anak sedara mahupun ibu bapa di kampung.
Anda yakin dengan wang yang anda simpan serta berbekalkan gaji bulanan serta komitmen yang terletak di bahu sudah cukup untuk perayaan Hari Raya ini nanti? Jika tidak, EH! ada kongsi bagaimana untuk berjimat duit dan tidak berakhir dengan poket kosong bila habisnya lebaran nanti.
Bajet, bajet, bajet!
Cara yang paling mudah untuk berjimat adalah dengan meletakkan bajet atau peruntukan untuk persiapan Aidilfitri. Asingkan terlebih dahulu beberapa bahagian dari duit pendapatan serta tidak lupa untuk sedikit amaun simpanan jika diperlukan kala kecemasan. Walaupun ini memberi anda sedikit kelonggaran, ini tidak bermakna anda perlu berbelanja untuk barangan yang mahal! Apabila keluar untuk membeli barangan untuk perayaan, tanya diri anda terlebih dahulu adakah anda betul-betul memerlukannya, jika anda mampu tidak menjadi masalah, dan jika ada alternatif yang lebih murah, ia lebih menjimatkan. Cara yang terbaik adalah dengan peka setiap waktu yang mana adanya diskaun dan jualan murah. Pastinya anda akan dapat mencari barangan yang anda mahukan dengan harga yang lebih rendah serta menjimatkan.
Buat perancangan lebih awal.
Ini sangat penting, terutama sekali untuk perancangan balik kampung. Pastikan anda sudah menempah tiket pulang ke kampung terlebih awal, tidak kira perjalanan pulang ke kampung dengan bas atau kapal terbang. Untuk mengurangkan lagi peruntukan anda, pulang beramai-beramai. Peruntukan perjalanan bersama saudara mara atau ahli keluarga lain akan lebih menjimatkan. Tidak salah juga jika ingin pulang ke kampung halaman bersama sahabat yang turut menuju ke destinasi yang sama. Dan jangan lupa untuk pastikan yang anda sudah mengkaji lebih awal untuk laluan mana yang akan kalian gunakan demi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang sekaligus berlakunya pembaziran wang untuk petrol kenderaan. Untuk kuih raya, rancang pembelian bersama ahli keluarga. Buat susun atur bersama keluarga, adik-beradik atau sedara mara yang akan turut serta beraya bersama di bawah satu bumbung. Dengan cara ini, sama-sama boleh berjimat dan merasai kenikmatan pelbagai jenis biskut raya.
Kurang beli tetapi suai padan!
Kala lebaran tiba, boleh kata majoriti orang ingin membeli perabut dan pakaian baru. Tidak salah untuk membeli yang baru tetapi haruslah berpada-pada dan yang penting ukur baju di badan sendiri. Ikut kemampuan masing-masing, bukannya nafsu dan kemahuan semata. Sebaiknya, semasa bulan Ramadan, lakukan satu sesi mengemas rumah dan susun atur semula perabot di rumah anda untuk kelihatan baru dan lain dari sebelumnya. Lakukan yang sama untuk baju melayu, baju kurung atau baju kebaya. Cuba suai padan dan kenakan bersam aksesori, pastinya ia akan tampak baru dan yang penting tidak memerlukan duit yang banyak.