Sudah tentunya personaliti sebenar dan ‘saat memalukan’ bukan mudah untuk dibongkar dalam diri seseorang artis namun EH! berjaya mendapatkan ‘info’ eksklusif penyanyi yang semakin hangat, Black, hanya untuk peminat EH!
Adakah Black jenis lelaki yang romantik?
Black: Oh, tidak. Saya berterus terang, saya bukan lelaki jenis romantik. Kalau ada pun, mungkin saya boleh dilabel sebagai ‘semi-romantik’ kerana jiwa saya lebih kepada sifat lasak! Masakan tidak, sebelum bergelar penyanyi, hidup saya hanyalah sukan bola sepak.
Apakah karakter dalam diri seseorang gadis yang paling disukai Black untuk dijadikan kekasih hati?
Black: Lemah lembut, memahami dan boleh dijadikan tempat untuk mengadu. Si dia harus memahami kerjaya dan minat saya biarpun terpaksa menunggu berjam-jam untuk menanti ‘show’ hingga habis!
Memandangkan bulan ini adalah bulan cinta sempena Hari Kekasih, apakah maksud hari istimewa ini bagi Black?
Black: Sejujurnya, saya jarang menyambut Hari Kekasih tetapi mengapa tidak kita tujukan hari istimewa ini bukan sahaja buat kekasih tetapi juga ibu, bapa dan rakan-rakan? Bagi saya, Hari Kekasih boleh dijadikan masa terbaik untuk berhenti seketika daripada kesibukan kerja dan luangkan masa bersama mereka yang kita sayangi.
Apakah kenangan paling manis bagi Black sewaktu menyambut Hari Kekasih?
Black: Ketika itu, saya membawa si dia saya ke sebuah restoran unik di Damansara. Suasananya yang romantis secara automatik menukar mood kami. Saya yang bukan ‘jiwang’ mula bertukar ke arah itu dengan bertutur dalam nada perlahan terhadapnya. Hati saya berdetik, “Yes! Akhirnya aku berjaya menjadi lelaki romantik!”. Haha!
Bagaimana pula dengan kenangan paling melucukan kala menyambut Hari Kekasih?
Black: (Ketawa) Ketika itu kami sedang keluar makan dan saya benar-benar terlupa untuk membayar bil. Sehinggalah saya menyedari seorang pekerja restoran itu mengekori kami dari belakang dan saya sangkakan, dia adalah peminat yang mahu bergambar rupanya hal lain pula! Rasa malu bukan kepalang lantas saya membayarnya dan memohon maaf.
Ikuti artikel penuh tentang Black dalam majalah EH! keluaran Februari 2011 sekarang!