Ramadan tahun ini merupakan Ramadan pertama buat penyanyi dan youtuber Korea terkenal, Daud Kim menyambutnya sebagai seorang Muslim. Walaupun sebelum ini, Daud atau lebih dikenali dengan nama Jay Kim pernah berpuasa, jejaka yang juga seorang penyanyi di Korea ini berasa amat teruja atas sambutan kali ini.
Sebelum memeluk agama Islam, Daud pernah memasang niat untuk berhijrah sebagai jejaka Islam sepenuhnya di Malaysia. Namun, niat tersebut terbatal dan Daud telah memeluk Islam penghujung tahun lalu di Korea Selatan. Walaupun begitu, hati dan perasaan Daud Kim untuk berkunjung ke Malaysia terus membuak dan melonjak luas. Terbaru, dia telah berkongsi status di laman Instagramnya untuk menyambut Ramadan dan sekali gus berpuasa di Malaysia.
Pun begitu, niat tersebut masih lagi kabur kerana Daud Kim berdepan dengan dugaan Covid-19 yang menyerang Korea Selatan dengan teruknya. Angkara serangan tersebut, banyak negara termasuk Malaysia telah menyekat orang Korea untuk berkunjung dan melancong Malaysia.
Daud yang kini sedang melawat destinasi Islam di Istanbul merasa pilu dan bingung. Perancangannya untuk ke Malaysia yang dijangka pertengahan Mac ini berkemungkinan tidak menjadi dan terbatal gara-gara sekatan yang di buat terhadap rakyat Korea. Jika ia benar batal, niat untuk Daud berpuasa dan menyelami Islam di Malaysia pada Ramadan ini turut terbantut.
Memandangkan dia kini seorang diri di Turki, dia sering meluahkan rasa dan emosinya di laman Instagram. Menerusi perkongsian tersebut, Daud merayu dan mencari pertolongan adakah dia benar-benar tidak boleh hadir ke Malaysia? Dalam pertanyaan itu, Daud turut mengatakan adakah patut dia menukar lokasi dari Malaysia ke Indonesia atau dia terpaksa pulang ke Korea Selatan saja dan menghadapi perang Corona yang kronik sekarang ini.
Berkongsi perasaan tersebut kepada sahabat baiknya di Malaysia, Daud memaklumkan bahawa keputusan berkenaan bukan saja berkaitan Corona semata-mata. Ia turut melibatkan tajaan dan perancangan program yang dijanjikan pihak tertentu di Malaysia. Ada pihak sedang dalam proses menaja tiket penerbangan dan penginapan Daud di Malaysia, namun ia masih lagi tergantung sepi.
Atas dasar itu juga, ia menguatkan lagi bahawa niatnya ke Malaysia bakal bertemu kedukaan. Pun begitu, sahabatnya itu masih lagi belum putus harapan untuk membantu melaksanakan niat Daud yang murni. Jadi, usaha untuk membantunya sedang giat dilakukan dan perbincangan terus dijalankan untuk mencari jawapan pasti.
Kedatangan Daud ke Malaysia sememangnya di nanti ramai pihak terutama sekali peminatnya. Jadi, seandainya anda mempunyai jawapan dari teka-teki ini, anda bolehlah terus memaklumkan kepada pihak EH! Korea Buzz yang akan menyampaikan mesej pertolongan anda terus kepada Daud.
Semoga apa yang dirancang bertemu jalan penyelesaian yang baik dan niat Daud itu bakal terlaksana. Pihak kami juga bercadang untuk melaksanakan sesi eksklusif bersamanya dengan pembaca setia EH! KOREA BUZZ.