Jika ada yang masih ingat lagi, penghujung tahun lalu Neelofa ada bekerjasama dengan jenama sepatu terkenal Giuseppe Zanotti, dan koleksi sepatu itu habis di hari pelancarannya. Saya sendiri menjadi saksi melihat rakan selebriti berebut membeli kerana jumlah sepatu yang dihasilkan untuk koleksi tersebut sangat terhad.
Dan semalam Neelofa sempat berbual mesra dengan pengasas jenama kasut itu sendiri, iaitu Giuseppe Zanotti sendiri. Perbezaan zon waktu antara keduanya bukanlah kekangan untuk mereka berinteraksi sambil disaksikan pengikut kedua-duanya di Instagram. Perbualan mereka banyak berkisar perihal dunia fesyen , sisi kreatif masing-masing dalam menghasilkan rekaan selain turut menyentuh mengenai sambutan Ramadan dan kesan wabak COVID-19 yang sedang melanda dunia.
Dalam perbualan itu, Giuseppe ralit bercerita tentang pengalamannya dalam dunia pembuatan kasut. Kata Giuseppe minatnya kepada dunia rekaan kasut berputik apabila dia terlihat seorang wanita yang mengenakan dres cantik tapi dipadankan dengan kasut yang hodoh.
“Dari situ, saya mula berimaginasi sesuatu yang luar biasa. Saya rasa, saya mewarisi sifat sensitif melihat sesuatu daripada ibu saya,” ujarnya yang memberitahu ibunya adalah seorang tukang jahit.
Usai berkongsi hal-hal berkaitan rekaan dan kreativiti, Giuseppe kemudiannya secara spontan meringankan tangannya melakar sepatu kahwin khas buat Neelofa. Dia melakarkan sepatu dalam warna biru. Mungkin Giuseppe dapat merasakan Neelofa bakal berkahwin dalam tahun ini? Siapa tahu kan?