Permulaan tahun 2021 yang baik buat peminat-peminat Blackpink, BLINKs!
Selepas Jennie, akhirnya tiba juga giliran ahli lain iaitu Lisa dan Rose untuk tonjolkan bakat tersendiri dengan mengeluarkan lagu solo. Sejak kumpulan ini ditubuhkan pada 2016, hanya Jennie yang pernah tampil dengan single pada 2018, bertajuk Solo.
Berita yang sudah lama ditunggu peminat ini dimumkan sendiri oleh agensi mereka, YG Entertainment minggu lalu. Rakaman lagu tersebut dikatakan sudah pun bermula dan kini mereka sedang membuat persediaan untuk penggambaran muzik video yang dijadualkan bermula pertengahan bulan ini.
Jadi apa pula rancangan untuk Jisoo, seorang lagi ahli Blackpink? Dia dilaporkan akan muncul dengan lagu solo juga tetapi bukan dalam masa terdekat. Jisoo kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Snowdrop yang masih dalam pembikinan.
Selain rakaman single dan berlakon drama, mereka juga sedang sibuk membuat persediaan untuk konsert atas talian, Blackpink: The Show yang bakal berlangsung hujung bulan ini, 31 Januari.
Ia sepatutnya berlangsung pada 27 Disember tahun lalu namun terpaksa ditangguhkan disebabkan langkah keselamatan dan sekatan Covid-19 yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Korea Selatan.
Ini merupakan konsert live streaming pertama mereka setelah tidak tampil membuat persembahan selama lebih setahun.
Foto: Bandwagon.asia
Baca: Peminat Teruja, Hyun Bin dan Son Ye-Jin Akhirnya Bercinta