Ramai selebriti A-list mengumumkan berita kehamilan dan kelahiran sejak pandemik melanda antaranya Emma Stone, Hilary Duff, Katy Perry dan Gigi Hadid. Kini Halsey turut memasuki senarai.
Dua hari lalu, penyanyi 3am ini mendedahkan dia kini sedang hamil anak pertama. Halsey atau nama sebenarnya Ashley Nicolette Frangipane memuat naik tiga foto di Instagram, menayang perutnya yang kelihatan agak besar.
“Surprise!,” tulisnya di kapsyen berserta emoji botol bayi, pelangi dan wajah bayi. Dia turut melabel Alev Aydin di foto pertama, membuatkan peminat yakin bahawa screenwriter itu merupakan bapa kepada bayi Halsey.
Tidak lama kemudian, dia membuat pengumuman di Twitter dengan ciapan, “pelangi saya.” Istilah “bayi pelangi” merujuk kepada kandungan selepas keguguran, kelahiran mati, atau kematian neonatal, menurut Jennifer Kulp-Makarov, M.D.
“Ia disebut bayi pelangi kerana ia seperti pelangi setelah ribut, sesuatu yang indah selepas terjadinya perkara menakutkan atau menyedihkan,” jelasnya.
“Kehilangan bayi merupakan pengalaman yang sangat beremosi dan dahsyat. Untuk membawa satu nyawa dalam kandungan dan melahirkan bayi selepas tragedi sedemikian adalah sesuatu yang sangat mengagumkan, ibarat keajaiaban buat ibu bapa ini.”
Ada kebenarannya, seperti apa yang diluahkan oleh Halsey selepas mengalami keguguran setahun lalu. “Saya berasa sangat kekurangan pada waktu ini,” katanya yang turut menjelaskan, peluang bergelar ibu adalah satu keajaiban buat dirinya.
Halsey mendedahkan mengenai keguguran yang dialaminya pada tahun 2016, malah pernah memuat naik ciapan di Twitter memberitahu dia pernah keguguran sebanyak tiga kali sepanjang hidupnya.
Kenyataannya, penyanyi Without Me ini menghidap endometriosis, gangguan pembiakan yang menjadikan proses kehamilan sukar atau dalam kes teruk, mustahil. Kata Halsey, keadaan ini sangat menyakitkan dan menyedihkan.
Dalam lagunya yang bertajuk More, dia menceritakan keinginan untuk memiliki cahaya mata dan mengakui bahawa keluarga sangat penting buatnya.
Ketika dia sedang bekerja untuk projek tersebut, pakar sakit puan mengumumkan satu berita gembira. Dengan rawatan dan perubahan gaya hidup yang lebih sihat, dia boleh bergelar ibu.
“Saat itu saya terasa seperti telah berkembang dalam hidup. Saya menulis lirik More dalam hanya empat minit. Idea mencurah keluar tanpa henti.”
“Pada zahirnya More seperti lagu cinta biasa. Dan ia memang lagu cinta, namun bukan untuk pasangan romantis. Ia salah satu lagu paling istimewa yang saya pernah hasilkan, dan paling matang setakat ini,” ujarnya.
Tambah Halsey, dia tidak akan menyanyikan lagu ini secara live sehinggalah mempunyai cahaya mata sendiri.
Foto: David M. Benett/Dave Benett/Getty Images