Buat pertama kali dalam sejarah, wanita mendominasi kategori Pengarah Filem Terbaik di Anugerah Golden Globe 2021 dengan pencalonan tiga wanita: Chloe Zhao, Regina King dan Emerald Fennell.
Pasti ramai yang mengingati momen kontroversi ketika Natalie Portman menyebut “here are the all-male nominees” ketika membacakan nama calon untuk kategori Pengarah Terbaik ketika Anugerah Golden Globe 2018. Ia telah membuka mata Hollywood dan akhirnya tahun ini, sejarah telah tercipta. Wanita mendominasi kategori Pengarah Filem Terbaik untuk edisi 2021!
Bukan satu, bukan dua, tetapi TIGA wanita telah dicalonkan untuk kategori Pengarah Filem Terbaik di Anugerah Golden Globe ke-78. Mereka adalah Chloe Zhao untuk filem Nomadland, Emerald Fennell untuk filem Promising Young Woman dan Regina King untuk filem One Night in Miami.
Ketiga-tiga wanita tersebut akan bertanding dengan David Fincher untuk filem Mank dan Aaron Sorkin untuk filem The Trial of the Chicago 7.
Hollywood Foreign Press Association yang merupakan badan pengundian untuk anugerah tahunan ini, tidak mencalonkan seorang pun wanita untuk enam tahun lalu. Hanya lima wanita sahaja pernah menerima tujuh pencalonan sepanjang hampir 80 tahun sejarah anugerah berprestij ini. Legenda Hollywood,
Barbra Streisand adalah satu-satunya wanita yang pernah memenangi kategori ini di Anugerah Golden Globe pada 1984 melalui filem Yentl.
Filem yang dibintangi oleh Gary Oldman, Mank menguasai edisi kali ini dengan tujuh pencalonan. Manakala filem, The Trial of the Chicago 7 menerima enam pencalonan. Kedua-dua filem ini boleh ditonton di Netflix sekarang.
Anugerah Golden Globe 2021 akan diadakan secara maya 28 Februari nanti. Duo komedi, Tina Fey dan Amy Poehler akan kembali penggalas tanggungjawab sebagai hos untuk edisi tahun ini.
Baca lebih lanjut: Heartbreak Has Never Looked So Good Tiba Hari Kekasih Ini
Foto: Getty Images