Pelantun lagu On The Floor, Jennifer Lopez menerima kritikan kerana didakwa menggunakan filter ketika mempromosi produk kecantikannya, JLO Beauty.
Lopez berkongsi satu klip buat tatapan 143 juta pengikutnya di Instagram dua hari lalu di mana dia dilihat membersihkan solekan di wajah menggunakan produk keluarannya.
Penyanyi berusia 51 tahun itu menulis kapsyen, “Daripada GLAM ke GLOW! Sangat teruja untuk memulakan cabaran #ImReel. Tunjukkan kepada saya keserian kulit anda dan saya akan memilih serta berkongsi beberapa foto yang menjadi kegemaran saya.”
Namun malangnya, beberapa peminat tidak percaya apabila melihat kulit sebenar Lopez setelah wajahnya dibersihkan.
“Dia sangka kita semua tidak tahu kebenaran. Sama seperti sebelum ini, dia menganggap kita terlalu dungu untuk percaya bahawa Botoks di wajahnya adalah keajaiban minyak zaitun. Sudah terang lagi bersuluh, dia gunakan filter dalam klip tersebut,’ tulis seorang netizen.
“Saya tidak pernah percaya kecantikan kulit selebriti. Dengan filter berjuta-juta, perawatan kulit seribu dolar dan pelbagai rawatan yang tidak mampu dimiliki orang biasa, saya tahu mereka tidak menggunakan produk sendiri,” tulis seorang lagi peminat.