Sudah menjadi asas penting buat jenama fesyen menjulang trend kelestarian fesyen. KARL LAGERFELD tidak mahu senyap, lantas mereka bergerak maju dengan berkolaborasi bersama Amber Valletta. Dua nama ini bersatu dalam melancarkan koleksi KARL LAGERFELD x Amber Valletta yang memberi fokus dalam aksesori eco-friendly. Melalui koleksi ini, setiap bahan yang digunakan adalah daripada sumber yang sahih. Juga KARL LAGERFELD menggunakan teknik berinovasi tinggi bagi memelihara alam sekitar.
Taruhan kolaborasi ini adalah beg K/Kushion yang mana mendapat ideanya daripada bantal yang sering dibawa oleh mendiang Karl Lagerfeld tatkala berpergian. Menarik tentang bantal milik pereka fesyen terkenal ini, bantal itu sudah disimpan sejak kecil lagi. Lantas beg K/Kushion dijelmakan dalam rekaan yang gebu juga berkemasan lembut. Beg ini pula hadir dalam dua material berpaksikan eco-friendly. Pertama adalah beg beg K/Kushion yang menggunakan material daripada pokok kaktus. Material ini diperkasakan oleh Desserto, sebuah syarikat asal Mexico.
Amber Valletta juga menaruhkan koleksi beg K/Kushion yang menggunakan 90% material kapas yang dikitar semula. Global Recycled Standard, badan yang bertauliah dalam mengesahkan material kitar semula juga memberi tanda setuju mereka pada penghasilan beg K/Kushion yang satu ini. Beg ini dikemasi dengan seni jahitan kuilt bersama tanda tag yang juga menggunkana material yang disahkan oleh Global Recycled Standard.
Pautan Berkenaan: Bvlgari Serpenti, Tas Tangan Bergancu Kepala Ular Bernafas Baharu