Angele, penyanyi kelahiran Belgium, menjadi gadis favourite terkini Chanel, lantas disunting menghiasi kempen 2021 Eye Makeup Collection.
‘La Loi de Murphy’ menjadi tiket yang berjaya membawa Angele melangkah ke pentas nyanyian global. Debut pada tahun 2017 itu telah memacu laju pecutannya ke dunia seni lantas lahirlah album sulungnya setahun kemudian. Album yang dijudulkan sebagai ‘Brol’ itu berjaya mencatat sejarah menjadi album paling laris di Perancis pada tahun 2019. Tahun ini pula bakal menyaksikan Angele melakar sejarah peribadi apabila filemnya bersama Marion Cotillard, ‘Annette’ direncana ditayangkan. EH! mendapatkan temubual bersama penyanyi yang pernah berkolaborasi dengan Dua Lipa menerusi single ‘Fever’ ini.
Apakah memori paling indah bersama Chanel?
Pastinya sewaktu melangkah anak tangga di Festival Filem Cannes dua tahun lalu. Itulah kali pertama saya menyarung Chanel, dan ia dari himpunan Haute Couture. Saya masih ingat betapa peliknya cara saya berdiri dan berjalan di karpet merah ketika itu. Pengalaman yang cukup indah dan sukar untuk ditafsirkan perasaan saya ketika itu.
Masih ingat sejak bila kamu mula bermain mekap?
Salah seorang teman baik saya yang memperkenalkan saya dengan mekap. Dia tinggal di London dan ada satu ketika saya melawatnya di sana, dia mengajar saya bersolek. Di London saya rasa mereka bereksperimen dengan mekap lebih awal berbanding di Belgium. Bila pulang, saya mengajak kawan-kawan di Belgium pula bersolek. Momen itu menyeronokan kerana kami sendiri pun tidak betul-betul mengerti apa yang kami lakukan.
Dipilih sebagai wajah kempen Stylo Yeux Waterproof, yang mana satu jadi kesukaan kamu?
Saya sukakan semuanya. Saya gunakan Stylo Yeux Waterproof- Noir jika mahu solekan mata yang lebih dalam dan pekat, saya memilih Brun Agapé untuk riasan setiap hari kerana ia stail solekan yang lebih lembut.
Apakah tip solekan terbaik yang pernah kamu terima?
Pastikan mata dibuka sewaktu memakai penggaris mata. Dari situ kita boleh nampak bentuk garisan mata. Setiap orang punya kelopak mata berbeza, dan penggaris mata memang boleh merubah penampilan mata kita.
Apakah kosmetik pertama Chanel yang kamu miliki?
Pewarna kuku pemberian ibu. Saya obses dengannya dan cukup cermat menggunakannya.
Apakah peranan solekan dalam kerjaya kamu sebagai penyanyi?
Pada saya solekan memainkan peranan penting kepada saya sebagai seorang penyanyi. Ia merubah pesona diri dan saya berasa lebih bersedia bila sudah siap bersolek, ia seakan memberi karakter tertentu kepada. Terasa bagai ada yang tidak kena jika naik ke pentas tanpa solekan. Solekan adalah kostum bagi saya.
Bagaimana kamu mencipta gaya solekan pentas?
Bergantung pada pakaian, warna dan mood saya.
Artikel Berkaitan: Chanel Factory 5, Pelengkap Chanel N° 5 Mesti Milik