Tarikh 21.12.2021 menjadi pilihan dua selebriti, Uyaina Arshad dan Oktovia Manrose untuk melangsungkan hari bahagia.
Pagi semalam menyaksikan penyatuan pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad bersama penyanyi, Raja Syahiran di Colony Star Boulevard, Kuala Lumpur City Centre.
Pasangan itu dinikahkan dengan sekali lafaz oleh abang kandung pelakon itu, Mohd Attaful Uzair Arshad disaksikan Pendaftar Pernikahan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta dua saksi lain.
Dalam majlis yang hanya dihadiri keluarga rapat dan rakan terdekat, Uyaina menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin dan seutas gelang tangan emas.
Pasangan itu memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran atas persetujuan keluarga dan tiada pertukaran dulang dilakukan oleh kedua-dua pihak.
“Alhamdulillah, majlis pernikahan berjalan lancar pagi ini. Sebenarnya kami sudah merancang pernikahan ini sejak beberapa bulan lalu, namun banyak pertukaran dari segi perancangan majlis disebabkan prosedur operasi standard yang berubah mengikut keadaan semasa,” kata Uyaina.